Gambar suspek yang memasang bom di Kuil Erawan, Bangkok. - Foto Polis Diraja Thailand/AFP
Gambar suspek yang memasang bom di Kuil Erawan, Bangkok. - Foto Polis Diraja Thailand/AFP

Bangkok: Polis Diraja Thailand menyiarkan gambar lebih jelas lelaki yang disyaki memasang bom di Kuil Erawan, Bangkok, yang letupannya membunuh lebih 20 orang termasuk lima rakyat Malaysia.

Gambar suspek itu berdasarkan rakaman CCTV di tempat kejadian sebelum letupan dan menurut jurucakap polis, Prawut Thavornsiri, lelaki itu berkemungkinan rakyat asing tetapi tidak menolak kemungkinan dia juga penduduk Thailand. Polis menawarkan ganjaran sejuta baht untuk maklumat mengenai lelaki berkenaan.

Reuters melaporkan Timbalan Ketua Polis Thailand, Jaktip Chaijinda, berkata pihaknya percaya lelaki dalam rakaman CCTV itu kelihatan lebih kepada rakyat asing berbanding penduduk Thailand.

Sebelum ini, Thavornsiri berkata dalam rakaman CCTV di Kuil Erawan sebelum letupan kira-kira jam 7 petang kelmarin, lelaki itu dilihat duduk di atas bangku di kuil berkenaan yang sesak dengan pengunjung dan menanggalkan beg galasnya sebelum meninggalkan kuil berkenaan tanpa membawa beg galas itu. -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 5:30 PM