ELON Musk. FOTO AFP
ELON Musk. FOTO AFP
Agensi

Seoul: Seorang wanita Korea Selatan dipujuk untuk melabur AS$69,600 (kira-kira RM332,000) selepas melihat video palsu yang menunjukkan individu mirip ketua eksekutif Tesla, Elon Musk, lapor The Korea Herald.

Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Jeong Ji-sun berkongsi kisah menjadi mangsa penipuan percintaan dalam program In-Depth 60 Minutes terbitan KBS.

Pada episod 19 April lalu, Jeong mendedahkan dia mula bercakap dengan lelaki yang mengaku sebagai Musk itu.

"Saya mengalami sesuatu seperti mimpi tahun lepas. Pada 17 Julai tahun itu, 'Musk' menambah saya sebagai rakan di Instagram. Walaupun saya menjadi peminat setia Musk, selepas membaca autobiografinya, pada mulanya saya ragu-ragu.

"Dia menghantar kad pengenalannya dan gambarnya di tempat kerja. Di samping itu, 'Musk' bercakap mengenai anak-anaknya dan menaiki helikopter untuk bekerja di Tesla atau SpaceX. Dia juga menjelaskan bahawa dia menghubungi peminat secara rawak," katanya.

Apabila Jeong bertanya kepada 'Musk' pengalaman bertemu dengan Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol pada April 2023, 'Musk' menjawab bahawa Yoon bercakap mengenai usaha mewujudkan kilang di Seoul dan Jeju.

"'Musk' pun berkata, 'Saya sayang awak, awak tahu tak?' apabila kami membuat panggilan video.

"Saya melihat video yang kelihatan seperti Musk, saya mula percaya bahawa itu adalah yang didakwanya," katanya.

'Musk' kemudiannya memberikan nombor akaun bank Korea dan berkata, dia gembira apabila peminat menjadi kaya kerana dirinya.

Bagaimanapun, undang-undang Korea Selatan kekurangan peruntukan yang boleh membantu mencegah jenayah sedemikian, menurut rancangan berkenaan.

Program itu turut menunjukkan bahawa banyak penipuan percintaan memaparkan mangsa membuat pembayaran melalui laman web palsu yang dibuat oleh penjenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 12:33 PM