X-RAY menunjukkan gunting yang tercacak pada kepala kanak-kanak berkenaan. FOTO X
X-RAY menunjukkan gunting yang tercacak pada kepala kanak-kanak berkenaan. FOTO X
Agensi

Bangkok: Gara-gara terpengaruh dengan watak ganas di televisyen, seorang budak lelaki di Thailand, baru-baru ini, sanggup bertindak membaling gunting kepada kakaknya hingga alat itu tercacak di kepala kakaknya itu.

Metro UK melaporkan Tin yang berusia empat tahun berpura-pura sebagai karakter dalam cerita di televisyen apabila dia tiba-tiba melempar gunting kepada kakaknya, Nong, 10.

Ia selepas kakaknya itu berkata, dia tidak mahu bermain lagi di rumah mereka di Thailand.

Gunting itu menusuk kepala kakaknya, menembusi tengkorak mangsa sehingga sedalam satu inci (kira-kira 25.4 milimeter).

Dua beradik itu dijaga datuk mereka Jaroon Royram, 50. Pada masa kejadian, Jaroon memotong besi dan meninggalkan adik-beradik itu tanpa pengawasan.

Jaroon berkata, dia sudah memberitahu cucunya itu untuk menjauhkan diri dari ruang kerja besi itu sebab dibimbangi mungkin terkena kepingan logam.

"Tidak lama selepas itu, saya mendengar Nong menjerit dan menangis. Saya berlari untuk melihat apa yang berlaku dan mendapati gunting itu tersangkut di bahagian tepi kepalanya.

"Saya cuba mengeluarkan sendiri gunting itu, tetapi ia tertanam kuat dalam tengkorak Nong," katanya.

NONG dirawat dua hari di hospital selepas doktor mengeluarkan gunting yang terpacak di kepalanya. FOTO X
NONG dirawat dua hari di hospital selepas doktor mengeluarkan gunting yang terpacak di kepalanya. FOTO X

Nong dibawa ke hospital di mana doktor akhirnya dapat mengeluarkan gunting itu.

Media tempatan melaporkan gadis itu dirawat di hospital selama dua hari sebelum dibenarkan keluar untuk proses pemulihan di rumah.

Bulan lalu, seorang pelajar sekolah di Stourbridge di England, ditikam di kepala dengan gunting semasa pelajaran Bahasa Inggeris.

Chloe Fisher, 15, mengalami beberapa luka di tangan, lengan dan hidungnya dengan imbasan CT mendedahkan bilah itu hampir menembusi tengkoraknya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 12:20 PM