PADANG ragut lembu yang dikelilingi air di Tasik George, yang terletak berhampiran ibu kota Australia Canberra. FOTO AFP
PADANG ragut lembu yang dikelilingi air di Tasik George, yang terletak berhampiran ibu kota Australia Canberra. FOTO AFP
Bernama-Xinhua

Sydney: Laporan baharu menganggarkan 47 peratus rakyat Australia dilanda cuaca ekstrem atau melampau pada musim panas dengan rekod gelombang haba, ribut kuat dan siklon melanda negara itu, lapor Xinhua.

Dalam edisi terbaru laporan Wild Weather Tracker yang dikeluarkan pada Selasa, pasukan penyelidik dari NRMA Insurance melaporkan syarikat itu menerima 19,600 tuntutan untuk kerosakan cuaca ekstrem terhadap rumah dan kenderaan pada musim panas 2023-24, menjadikannya musim terburuk bagi kerosakan kediaman sejak musim luruh pada 2022.

Kerosakan kediaman menyumbang sebahagian besar tuntutan sepanjang musim panas, kerana 62 peratus daripada semua tuntutan rumah berpunca daripada cuaca buruk. Indeks itu menyaksikan peningkatan 55 peratus berbanding musim panas 2022-23. Ribut dan hujan batu merupakan punca utama kerosakan, diikuti siklon atau angin puting beliung dan banjir.

Khususnya, Queensland telah dilanda cuaca melampau yang membawa kepada kerosakan seperti taufan tropika Jasper dan Kirrily serta ribut semasa cuti Krismas Tahun Baharu.

Dalam kalangan mereka yang mengalami cuaca melampau, kira-kira 37 peratus berkata ia bukan seperti yang mereka jangkakan atau telah bersedia.

"Sejak akhir November, kami telah mengalami siri cuaca buruk di sepanjang Pantai Timur yang menyebabkan kerosakan ketara," kata Pengurus Eksekutif NRMA Insurance bagi Tuntutan Natalie Major.

"Adalah membimbangkan bahawa kurang daripada separuh (40 peratus) rakyat Australia mengambil langkah menyediakan rumah mereka bagi menghadapi cuaca ekstrem pada musim lepas. Adalah penting untuk mengambil langkah menyediakan sepanjang tahun sebelum cuaca buruk melanda," kata Major.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 5:32 PM