PESAWAT Latam Airlines. FOTO fail AFP
PESAWAT Latam Airlines. FOTO fail AFP
AFP

Wellington: Sekurang-kurangnya 12 penumpang dimasukkan ke hospital selepas pesawat syarikat penerbangan Chile, Latam Airlines, mengalami masalah teknikal dan 'pergerakan kuat' ketika penerbangan dari Sydney ke Auckland, pada Isnin.

Menurut jurucakap syarikat penerbangan negara Amerika Selatan itu, masalah teknikal berlaku dalam penerbangan berkenaan dan menyebabkan beberapa anak kapal dan penumpang cedera.

Sekurang-kurangnya seorang penumpang dikatakan dalam keadaan serius selepas penerbangan LA800 itu mengalami masalah ketika terbang di atas Laut Tasman.

Penumpang memberitahu media tempatan bahawa pesawat itu menjunam, yang menyebabkan mereka yang tidak memakai tali pinggang keledar, tercampak ke siling.

Seorang jurucakap syarikat penerbangan yang berpangkalan di Chile itu berkata, isu teknikal ketika penerbangan itu menyebabkan pesawat bergerak secara mengejut.

"Pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Auckland seperti yang dijadualkan," katanya.

Setakat ini, tidak jelas apa yang menyebabkan kejadian itu.

KESAN kerosakan pada siling pesawat berkenaan. FOTO Brian Adam Jokat/ Reuters
KESAN kerosakan pada siling pesawat berkenaan. FOTO Brian Adam Jokat/ Reuters

"Kakitangan ambulans kami memeriksa dan merawat kira-kira 50 pesakit, dengan seorang pesakit yang berada dalam keadaan serius dan yang lain mengalami kecederaan ringan," kata Gerard Campbell daripada perkhidmatan ambulans St John New Zealand.

"12 pesakit dihantar ke hospital," katanya.

Latam menyatakan bahawa pesawat yang terbabit adalah Boeing 787 Dreamliner.

Dalam pada itu, AFP dalam laporan berasingan melaporkan Latam Airlines berkata, ia bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membongkar "peristiwa teknikal" yang tidak ditentukan, yang terbaru dalam rentetan insiden keselamatan yang melanda pengeluar pesawat Boeing.

"Ia secara tiba-tiba," kata cef yang berpangkalan di Auckland, Lucas Ellwood, yang menaiki penerbangan LA800 itu.

Menurutnya, pada masa kejadian, seorang lelaki berada di dalam tandas

"Dia memberitahu saya dia terpelanting ke siling," katanya.

Dalam pada itu, pegawai kesihatan memberitahu AFP empat orang masih berada di hospital setakat pagi Selasa.

Latam berkata, terdapat 263 penumpang dan sembilan kru dalam pesawat itu apabila ia "mengalami pergerakan yang kuat".

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 1:08 PM