GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Jakarta: Seramai 172 warga Indonesia yang didakwa keluar melalui laluan haram di Selangor hanyut lebih sehari dalam dua tongkang sebelum diselamatkan nelayan tempatan di perairan Pantai Labu, Deliserdang, Sumatera Utara, Indonesia.

Portal Kompas.TV melaporkan kesemua warga Indonesia berkenaan yang bekerja di Malaysia itu dikatakan terpaksa bertahan selama 28 jam di tengah laut di kawasan itu.

Difahamkan, mereka hanyut di tengah laut semasa dalam perjalanan pulang ke Indonesia selepas berangkat dari Selangor pada 9 Januari lalu secara haram dengan menaiki tongkang.

Bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, tongkang itu dikatakan berpusing-pusing mengelilingi pulau sebelum hanyut akibat cuaca buruk.

Sebaik tiba di perairan Pantai Labu, semua pekerja terbabit tidak dibawa berlabuh di pesisir pantai sebaliknya diturunkan di laut.

Situasi itu menyebabkan nelayan yang melalui kawasan berkenaan melakukan penyelamatan sebelum diminta menjalani pemeriksaan.

Seorang penumpang tongkang dikenali sebagai Fauzi memaklumkan dia melalui perjalanan selama 28 jam dari Selangor untuk tiba ke lokasi berkenaan.

"Sepatutnya kami sudah sampai (Sumatera Utara), tetapi kapal itu berpusing-pusing," katanya yang memaklumkan terdapat lebih 130 penumpang turut sama menaiki kapal tongkang berkenaan.

Sementara itu, pegawai di daerah Pantai Labu berkata, semua warga Indonesia berkenaan pulang ke negara asal menaiki dua tongkang melalui laluan haram.

Katanya, kesemua penumpang tongkang itu ditemui di laut dengan barang mereka berada di air dan meminta pertolongan nelayan yang melalui kawasan berkenaan.

Selepas proses pemeriksaan, semua penumpang yang berasal dari Sumatera dan Pulau Jawa itu kemudian dibenarkan pulang ke daerah masing-masing.

Mereka juga dinasihatkan berhati-hati dan tidak memilih menggunakan ejen haram demi keselamatan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 4:58 PM