Putera Mahkota Kuwait Meshal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah. FOTO REUTERS
Putera Mahkota Kuwait Meshal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah. FOTO REUTERS
Bernama-Sputnik

Kaherah: Putera Mahkota Kuwait Meshal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah diisytiharkan sebagai Emir baharu Kuwait berikutan kemangkatan kekandanya Nawaf Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, lapor Sputnik memetik laporan Kuwait Television pada Sabtu.

Pengisytiharan Putera Mahkota berusia 83 tahun sebagai Emir baharu diumumkan oleh majlis menteri-menteri Kuwait, menurut kenyataan yang disiarkan di televisyen.

Terdahulu, Menteri bagi Hal Ehwal Kabinet Kuwait Mohammad Abdullah Al-Mubarak Al-Sabah berkata Emir Nawaf Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, 86, mangkat pada Sabtu.

Pada akhir November, Agensi Berita Kuwait (KUNA) melaporkan Nawaf Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah dimasukkan ke hospital kerana masalah kesihatan.

"Kami berduka cita atas kemangkatan Emir Nawaf Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah yang mangkat pada Sabtu," kata pegawai itu kepada KUNA.

Sementara itu Bernama juga melaporkan Maldives, Pakistan, India dan negara-negara lain di Asia mengucapkan takziah atas kemangkatan Emir Kuwait Sheikh Nawaf Al Ahmad Al Jaber Al Sabah.

"Dunia Islam kehilangan seorang pemimpin yang hebat dan penyokong kuat perjuangan Ummah. Takziah saya ucapkan kepada kerabat diraja dan rakyat Kuwait.

"Kerajaan dan rakyat Pakistan bersama saudara di Kuwait ketika saat yang penuh kedukaan ini," kata Presiden Pakistan Arif Alvi.

Presiden Maldives Mohamed Muizzu mengarahkan bendera negara dikibarkan separuh tiang selama tiga hari bermula Ahad.

Muizzu berkata Maldives akan sentiasa mengenang usaha Emir dalam membina dan mengembangkan hubungan dua hala.

"Saya mengucapkan takziah kepada kerabat Emir dan rakyat Kuwait," katanya.

Perdana Menteri India Narendra Modi menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga diraja dan rakyat Kuwait dan kerajaan mengisytiharkan negara berkabung sehari pada Ahad.

Kerajaan Afghanistan turut berkongsi kedukaan.

"Ingatan dan doa kami bersama rakyat Kuwait semasa tempoh berkabung ini. Semoga legasi, kepimpinan dan dedikasi baginda kepada negaranya menjadi sumber keselesaan dalam masa yang mencabar ini," kata Menteri Luar Sri Lanka Ali Sabry.

Syeikh Nawaf, 86, mangkat selepas tiga tahun memerintah.

Putera Mahkota Sheikh Meshal Al Ahmad Al Jaber Al Sabah, 83, diisytiharkan sebagai Emir baharu Kuwait

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2023 @ 8:10 AM