PENDUDUK Palestin memeriksa kesan kemusnahan susulan serangan udara di Gaza. FOTO Reuters
PENDUDUK Palestin memeriksa kesan kemusnahan susulan serangan udara di Gaza. FOTO Reuters
Reuters

Gaza: Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) semalam menggesa diwujudkan koridor kemanusiaan bagi menyalurkan bantuan makanan ke Gaza susulan serangan udara Israel di wilayah Palestin itu.

"Apabila konflik semakin meningkat, orang awam, termasuk kanak-kanak dan keluarga yang terdedah, menghadapi cabaran semakin meningkat dalam akses bekalan makanan penting.

"WFP menggesa akses kemanusiaan yang selamat dan tanpa halangan ke kawasan yang terjejas, menyeru semua pihak menegakkan prinsip undang-undang kemanusiaan termasuk memastikan akses kepada makanan," menurut WFP yang berpangkalan di Rom.

Menurut laporan Reuters, agensi PBB itu menyediakan bantuan makanan terus kepada kira-kira 350,000 rakyat Palestin setiap bulan, sementara turut menawarkan bantuan kepada hampir satu juta rakyat Palestin dengan kerjasama rakan kemanusiaan lain melalui pemindahan wang tunai.

WFP berkata, ia bersedia menyediakan stok makanan awal untuk orang yang dipindahkan atau berada di tempat perlindungan.

"Walaupun kebanyakan premis perniagaan di kawasan terjejas di Palestin pada masa ini mengekalkan stok makanan untuk sebulan, akan wujud risiko apabila orang ramai membeli makanan kerana bimbang konflik berpanjangan," katanya.

Pesawat Israel menyerang Gaza semalam selepas Israel mengalami serangan paling berdarah dalam beberapa dekad, apabila pejuang Hamas menyerang melalui bandar-bandar Israel membunuh 600 dan menculik puluhan lagi.

Menurut tentera Israel, mereka mengerahkan puluhan ribu tentera di sekitar Gaza, sebuah kawasan sempit yang menempatkan 2.3 juta penduduk Palestin, di tengah-tengah spekulasi meluas mengenai pencerobohan Israel berskala besar yang akan berlaku ke wilayah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 1:03 PM