Antara bantuan yang disalurkan melalui udara di Gaza. - FOTO AFP
Antara bantuan yang disalurkan melalui udara di Gaza. - FOTO AFP
Bernama-UPI

Washington: Seramai lima kanak-kanak Palestin terbunuh manakala beberapa lagi cedera dihempap bungkusan bantuan yang digugurkan dari udara oleh negara tidak dikenal pasti dalam satu kejadian di Gaza pada Jumaat.

Ketua jabatan penjagaan kecemasan di Kompleks Perubatan Al Shifa di Bandaraya Gaza, Muhammad Al-Sheikh memberitahu CNN bahawa insiden itu berlaku di kem Al Shati di barat bandar itu, lapor United Press International (UPI).

Al-Sheikh berkata kecederaan dialami beberapa mangsa agak serius.

Setiausaha akhbar Pentagon Mej Jeneral Pat Ryder memberitahu ABC News bahawa tiada individu yang cedera dalam misi Amerika Syarikat (AS) menggugurkan bantuan kemanusiaan pada Jumaat di utara Gaza.

"Laporan akhbar bahawa bantuan digugurkan dari pesawat AS menyebabkan kematian orang awam di darat adalah palsu kerana kami telah mengesahkan bahawa semua bungkusan bantuan kami mendarat dengan selamat," kata Ryder pada sidang media.

Pejabat Media Kerajaan di Gaza mengkritik langkah menggugurkan bantuan dengan payung terjun (air drop) dan menggesa pembukaan pintu sempadan ke Gaza dengan segera untuk menyampaikan bantuan secara lebih berkesan kepada kira-kira 2.4 juta orang awam yang mengalami kekurangan air dan makanan.

Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mengkritik Israel kerana menyekat penghantaran bantuan ke Gaza, dan konflik yang berterusan menjadikan ia lebih sukar untuk menyampaikan bantuan, walaupun kebenaran telah diberikan.

Program Makanan Sedunia (WFP) pada Rabu berkata pihak berkuasa Israel menghalang konvoi 14 trak yang membawa makanan kepada rakyat Palestin di utara Gaza, yang pertama sejak ia menangguhkan operasinya pada Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 2:53 PM