GAMBAR dikongsi di X menunjukkan api menjulang ke udara disebabkan letupan yang berhampiran lapangan terbang Tashkent.
GAMBAR dikongsi di X menunjukkan api menjulang ke udara disebabkan letupan yang berhampiran lapangan terbang Tashkent.
Bernama-Sputnik

Tashkent: Satu letupan kuat berlaku di sebuah gudang di ibu negara Uzbekistan, Tashkent dan mencetuskan kebakaran, lapor Sputnik, memetik Kementerian Kecemasan Uzbekistan.

"Hari ini, 28 September, jam 2.43 pagi (waktu tempatan, 21:43 GMT pada Rabu), unit Kementerian Kecemasan yang bertugas menerima laporan letupan dan kebakaran berlaku di sebuah gudang yang terletak di wilayah kompleks 'Stroitel' di daerah Sergeli di bandar Tashkent," kata kementerian itu di Telegram.

Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan 16 jentera bomba telah dihantar ke lokasi kejadian.

Kementerian itu menafikan laporan bahawa nahas pesawat didakwa menyebabkan letupan berkenaan.

"Berita palsu tersebar di beberapa media sosial bahawa kejadian di daerah Sergeli disebabkan nahas pesawat. Maklumat ini tidak benar," kata kementerian itu dalam satu hantaran lain.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Uzbekistan berkata terdapat kemalangan jiwa dalam kejadian itu, sambil menambah mereka yang cedera dibawa ke hospital.

"Mereka yang cedera akibat kebakaran telah dibawa ke pusat perubatan di wilayah Tashkent," kata kementerian itu di Telegram.

Kementerian menambah bahawa mereka yang dirawat di pusat itu tidak mengalami kecederaan serius.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 10:33 AM