ANGGOTA Hashed al-Shaabi Iraq berkawal di pintu masuk ibu pejabat mereka di Baghdad pada Januari 2024. FOTO AFP
ANGGOTA Hashed al-Shaabi Iraq berkawal di pintu masuk ibu pejabat mereka di Baghdad pada Januari 2024. FOTO AFP
AFP

Baghdad: Beberapa orang cedera dalam "pengeboman" semalaman di pangkalan tentera Iraq yang menempatkan gabungan kumpulan bersenjata pro-Iran, kata dua sumber keselamatan, awal Sabtu.

Letupan itu melanda pangkalan tentera Calso di wilayah Babylon di selatan Baghdad, di mana Pasukan Mobilisasi Popular Iraq, atau Hashed al-Shaabi, ditempatkan, menurut sumber kementerian dalam negeri dan seorang pegawai tentera.

Kementerian Dalam Negeri berkata, "pengeboman udara" membunuh seorang dan mencederakan lapan yang lain, manakala sumber tentera melaporkan tiga anggota tentera Iraq cedera dalam serangan.

Dalam satu kenyataan, Hashed al-Shaabi berkata, "letupan" menyebabkan "kerugian material" dan kemalangan jiwa, tanpa menyatakan bilangan yang cedera.

Kumpulan itu mengesahkan bahawa premisnya di pangkalan tentera terkena serangan dan penyiasat dihantar ke tapak berkenaan.

Menjawab soalan daripada AFP, sumber keselamatan tidak akan mengenal pasti siapa yang bertanggungjawab, atau mengatakan sama ada ia adalah serangan dron.

"Letupan itu mengenai peralatan, senjata dan kenderaan," kata sumber kementerian itu.

Tiada pihak yang segera mengaku bertanggungjawab.

Tidak lama selepas letupan itu, tentera Amerika Syarikat (AS) berkata, tenteranya tidak berada di belakang serangan yang dilaporkan di Iraq.

"Amerika Syarikat tidak melakukan serangan udara di Iraq hari ini," Komando Pusat AS (Centcom) menyiarkan di platform media sosial X, sambil menambah bahawa laporan bahawa tentera AS melakukan serangan adalah "tidak benar."

Pegawai tentera Iraq, yang tidak mahu namanya disiarkan kerana sensitiviti subjek berkata, letupan semalaman berlaku di "gudang menyimpan peralatan".

"Kebakaran masih marak dan pencarian mangsa yang cedera diteruskan," kata sumber itu.

Ketika dihubungi AFP, tentera Israel berkata, ia "tidak mengulas mengenai maklumat yang diterbitkan dalam media asing."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 12:03 PM