FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Jakarta: Polis Jakarta Barat, baru-baru ini, menahan seorang wanita berusia 29 tahun yang menanam ganja secara hidroponik dan meletakkan tumbuhan itu di dalam almari di rumahnya.

Ketua Unit Narkotik Polis Jakarta Barat Senior Komisioner Akmal berkata, wanita dinamakan LA itu didapati menanam ganja itu dengan bantuan lampu dan cahaya ultraungu sebagai pengganti sinaran matahari.

Beliau berkata, peralatan digunakan suspek agak mudah, tetapi ia cukup untuk membesarkan pokok ganja itu sehingga ia setinggi kira-kira satu meter (m).

"Individu itu ditahan di rumahnya di Kediaman Kedoya Baru di Kebon Jeruk, Jakarta Barat.

"Pihak berkuasa menemukan almari tempat menyimpan tumbuhan ganja itu di tingkat dua rumah berkenaan.

"Terdapat tiga pokok ganja dengan ketinggian kira-kira satu m di dalam almari itu. Siasatan awal mendapati LA adalah pengguna ganja selama bertahun-tahun dan cuba menanam sendiri tanaman ganja," katanya.

Akmal menjelaskan, tempat penanaman ganja itu seolah-olah makmal mini di mana wanita itu melakukan eksperimennya.

Beliau juga berkata, LA menggunakan pelbagai alat dalam usaha memastikan tanaman ganja itu membesar termasuk menggunakan baja cecair.

"Suspek membeli benih ganja daripada rakan melalui media sosial. Rakannya itu juga menghantar daun dan biji ganja kering untuk kegunaan sendiri.

"LA cuba menanam sendiri benih ganja sejak Mac 2023 iaitu kira-kira empat bulan lalu dengan mencari maklumat cara-cara penanaman ganja daripada media sosial dan internet.

Menurut Akmal, suspek mengaku dia mengambil ganja untuk bersantai, bukan untuk dijual.

Susulan serbuan itu, suspek ditahan untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 1:25 PM