PENDUDUK menaiki skuter di jalan yang dinaiki air di bandar Zhuozhou, wilayah Hebei, utara China pada 9 Ogos lalu. FOTO AFP
PENDUDUK menaiki skuter di jalan yang dinaiki air di bandar Zhuozhou, wilayah Hebei, utara China pada 9 Ogos lalu. FOTO AFP
AFP

Beijing: Jumlah kematian akibat hujan di China meningkat kepada sekurang-kurangnya 78 orang, pada Jumaat, sekali gus memecah rekod di utara negara berkenaan.

Kematian akibat banjir di wilayah Hebei meningkat kepada 29, lapor media tempatan pada Jumaat.

Ia selepas Taufan Doksuri, yang melanda China dua minggu lalu, membawa hujan paling teruk sejak rekod bermula 140 tahun lalu.

Pasukan penyelamat terus menggiatkan usaha mencari mangsa yang dihanyutkan oleh banjir, ketika ribut lain, Khanun, membadai hujung minggu.

Banjir itu berlaku beberapa minggu selepas musim panas dengan saintis memberitahu cuaca ekstrem seperti itu diburukkan lagi oleh perubahan iklim.

Jalan di bahagian Hebei, yang bersempadan dengan ibu negara, masih dipenuhi lumpur.

Penduduk bertungkus lumus mendapatkan semula barang-barang dan membersihkan rumah yang terjejas selepas dinaiki air.

Khamis lalu, 29 individu maut akibat hujan di seluruh wilayah itu, enam daripadanya sebelum ini disenaraikan sebagai hilang, kata penyiar CCTV negeri pada Jumaat. Selain itu, 16 orang lagi masih hilang.

Di bandar ini, sekurang-kurangnya 33 individu maut, termasuk dua pekerja penyelamat, kata pihak berkuasa minggu ini, dan puluhan mangsa terbunuh di wilayah timur laut Jilin, selepas hujan lebat minggu lalu.

Sementara di wilayah Liaoning, dua kematian dilaporkan selepas beberapa hari pertama hujan lebat pada akhir Julai.

Pada Jumaat, agensi berita Xinhua berkata, satu lagi pasukan kawalan banjir dihantar ke wilayah itu dengan keadaan banjir tempatan, kekal teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 11:21 AM