FOTO fail pada 16 Mac 2021 menunjukkan penunjuk perasan berlindung dengan perisai buatan ketika bertempur dengan polis, ketika demonstrasi membantah rampasan kuasa di Yangon FOTO AFP
FOTO fail pada 16 Mac 2021 menunjukkan penunjuk perasan berlindung dengan perisai buatan ketika bertempur dengan polis, ketika demonstrasi membantah rampasan kuasa di Yangon FOTO AFP
AFP

Yangon: Junta Myanmar melanjutkan tempoh perintah darurat negara itu selama enam bulan berkuat kuasa hari ini.

Lanjutan tempoh itu menandakan pelaksanaan pilihan raya yang mereka janjikan bakal ditangguhkan lagi.

Negara Asia Tenggara itu, dilanda keganasan sejak rampasan kuasa bagi menggulingkan kerajaan Aung San Suu Kyi lebih dua tahun lalu, melancarkan tindakan keras berdarah terhadap perbezaan pendapat yang mencetuskan pertempuran merentasi pelosok negara hingga menjejaskan ekonomi.

Ketua Junta, Min Aung Hlaing mengakui, ada bahagian di negara itu masih tidak berada di bawah kawalan tentera.

Katanya, pertempuran masih lagi berterusan di wilayah Sagaing, Magway, Bago dan Tanintharyi serta negeri Karen, Kayah dan Chin.

"Kami memerlukan sedikit masa untuk meneruskan tugas kami untuk persediaan yang sistematik kerana kami tidak sepatutnya mengadakan pilihan raya akan datang secara tergesa-gesa," katanya seperti dilaporkan MRTV.

Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara (NDSC) bersetuju untuk memanjangkan perintah darurat yang diisytiharkan apabila jeneral menggulingkan kerajaan Aung San Suu Kyi.

"Tempoh darurat akan dilanjutkan enam bulan lagi mulai 1 Ogos", media kerajaan memetik kata Pemangku Presiden Myint Swe.

Perlembagaan 2008 yang digubal tentera Myanmar, memerlukan pihak berkuasa mengadakan pilihan raya baharu dalam tempoh enam bulan selepas perintah darurat ditarik balik.

Junta sebelum ini menjanjikan hari pengundian baharu menjelang Ogos tahun ini.

Sebelum rampasan kuasa berlaku, tentera memerintah Myanmar selama beberapa dekad selepas merdeka daripada Britain pada 1948, serta menguasai ekonomi dan politik negara itu.

Pada hari pengumuman berita itu, seorang terbunuh dan kira-kira 12 cedera dalam satu letupan berhampiran pusat pemeriksaan di tenggara, menurut seorang pegawai.

Timbalan Pengarah Asia Human Rights Watch, Phil Robertson menggesa masyarakat antarabangsa bertindak dengan lebih keras.

"Mimpi ngeri rakyat Myanmar yang tidak berkesudahan adalah satu perkara yang perlu diambil perhatian pemerhati daripada pengumuman terbaharu junta ini.

"Junta tentera bersedia untuk berjuang hingga akhir untuk memegang kuasa, tidak kira berapa banyak darah yang tertumpah dan penderitaan berlaku," katanya kepada AFP.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 12:13 PM