TIAN Dongxia mahu melahirkan anak untuk setiap zodiak Cina.
TIAN Dongxia mahu melahirkan anak untuk setiap zodiak Cina.
Agensi

Beijing: Wanita di China menarik perhatian ramai kerana melahirkan sembilan anak sejak 13 tahun lalu ketika berusia awal 30-an.

Portal mothership memetik Sohu, sebuah laman web perkhidmatan dalam talian di China melaporkan wanita itu, Tian Dongxia berusia 34 tahun, namun ada sumber lain mendakwa dia berusia 31 tahun.

Ketika berdepan keraguan orang ramai, Tian menyatakan bahawa dia enggan membazirkan genetik suaminya dan berhasrat untuk terus mempunyai lebih ramai anak bagi melengkapkan 12 tahun dalam zodiak Cina.

Tian bertemu suaminya, Zhao Wanlong, di sekolah menengah sebelum berkahwin.

Hasil perkahwinan itu, Tian dan Zhao dikurniakan bayi perempuan, pada 2010, sempena tahun harimau.

Tian kemudian melahirkan anak kembar pada 2012 sempena tahun naga dan enggan menambah cahaya mata selepas kelahiran ketiga.

Bagaimanapun, Tian mengubah keputusan apabila ada keinginan untuk mempunyai lebih ramai anak untuk menjadikan rumahnya lebih meriah.

Pada 2016 iaitu tahun kambing, pasangan itu mempunyai anak keempat iaitu seorang bayi perempuan.

Tian kemudian melahirkan empat anak lagi, namun Covid-19 pada 2020 merumitkannya untuk mendapatkan zuriat hingga Tian terpaksa melahirkan lapan zuriatnya seorang diri.

Tidak terhenti di situ, Tian selamat melahirkan anak kesembilannya pada tahun lalu dan kini sedang hamil anak ke-10, serta tidak berhasrat untuk berehat.

Dia menyatakan hasratnya untuk terus melahirkan cahaya mata sehingga mempunyai anak bagi setiap tanda zodiak Cina.

Sehingga kini, Tian sudah melahirkan anak pada tahun harimau, naga, monyet, ayam jantan, anjing, babi dan tikus.

Ia bermakna dia perlu melahirkan sekurang-kurangnya lima lagi anak dalam tahun lembu, arnab, ular, kuda dan biri-biri.

Segelintir individu mempersoalkan kemampuan Tian menjaga dan menyara anak namun wang bukanlah masalah buatnya.

Ini kerana Zhao menyandang jawatan sebagai pengerusi di konglomerat China, Wanzheng Group, manakala Tian adalah pengurus besar di syarikat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 1:12 PM