HUANG menggambarkan kelahiran anak perempuannya sebagai anugerah tuhan. FOTO: Agensi
HUANG menggambarkan kelahiran anak perempuannya sebagai anugerah tuhan. FOTO: Agensi
Agensi

BEIJING: Seorang warga emas berusia 67 tahun di timur China menjadi ibu tertua di negara itu selepas melahirkan bayi perempuan pada Jumaat lalu.

Wanita dikenali sebagai Tian melahirkan bayi seberat 2.6 kilogram menerusi pembedahan di Hospital Bersalin dan Kanak-kanak Zaozhuang.

Tian mendakwa tidak menggunakan kaedah rawatan kesuburan dan hanya menyedari dia hamil ketika membuat pemeriksaan kesihatan.

Wanita terbabit mendedahkan kepada Jinan Times pada mulanya tidak mahu melahirkan bayi itu.

Suaminya Huang, 68, berkata, kehamilan isterinya tidak dirancang dan bayi itu anugerah tuhan, lapor Qilu Evening News.

Pasangan berkenaan menamakan bayi mereka Tianci yang bermaksud anugerah tuhan.

Mereka sudah mempunyai seorang anak lelaki dan perempuan serta beberapa cucu.

Anak lelaki pasangan terbabit lahir pada 1977, dua tahun sebelum China melaksanakan polisi satu anak bagi mengawal populasinya.

Sementara itu, Hospital Bersalin dan Kanak-kanak Zaozhuang dalam satu kenyataan berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan Tian hamil secara semula jadi.

PASANGAN ini sudah mempunyai seorang anak lelaki dan perempuan serta beberapa cucu.
PASANGAN ini sudah mempunyai seorang anak lelaki dan perempuan serta beberapa cucu.

Ini kerana Tian sudah hamil ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Berita kelahiran Tianci mencetuskan kritikan di laman sosial Weibo dan seorang netizen menuduh pasangan terbabit pentingkan diri.

“Pada usia lanjut, mereka sudah tidak berupaya menjaga budak dan akan meletakkan tanggungjawab itu kepada anak lebih tua,” tulisnya.

Segelintir netizen turut mempersoalkan sekiranya Tian dan suaminya akan dikenakan hukuman kerana mempunyai lebih daripada dua anak.

Pada 2016, kerajaan China membenarkan setiap keluarga memiliki dua anak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 7:38 PM