FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Beijing: Mudah masuk, susah keluar. Itu pengajaran terpaksa dilalui seorang lelaki di timur China selepas mencuba 'cabaran mentol lampu'.

The Straits Times melaporkan, lelaki dikenal pasti dengan hanya nama keluarga Chen itu menonton video dalam talian yang menunjukkan seseorang yang menyumbat mentol ke dalam mulut

Dia kemudian mencuba aksi itu, namun kemudian menyedari bahawa mustahil untuk mengeluarkannya semula dari mulutnya.

Memetik laporan media tempatan China Global Television Network (CGTN), Chen tidak percaya dengan dakwaan lelaki di dalam video itu.

Jadi dia mencuba cabaran itu dan berakhir dengan keadaan yang sama apabila mentol lampu kaca tersangkut di mulutnya dengan logam pemegang mentol menonjol keluar menyebabkan dia tidak boleh bercakap atau menelan.

Kejadian berlaku minggu lalu di bandar Yuyao di wilayah Zhejiang dan keadaan itu menyebabkan Chen terpaksa meminta bantuan bomba tempatan.

Anggota bomba itu teragak-agak untuk mengeluarkan mentol daripada mulut Chen kerana jika mentol kaca itu pecah, kerana ia akan menyebabkan kecederaan.

Mereka membawanya ke hospital, di mana seorang doktor perlu berhati-hati mengeluarkan mentol dari mulutnya dengan bantuan pembuka mulut.

Sungguh melegakan Chen apabila doktor itu berjaya mengeluarkan mentol lampu itu yang terperangkap dalam mulutnya selama lebih dua jam.

Doktor juga berkata, sebelah rahang Chen terkehel disebabkan mentol lampu tersumbat di mulutnya.

Apa pun, mengapa sukar untuk mengeluarkan objek yang sebelumnya boleh dimasukkan ke dalam mulut dengan mudah?

Video dari TheSoul Publishing menerangkan bahawa walaupun bentuk mentol membolehkan ia mudah dimasukkan ke dalam mulut, mengeluarkannya adalah bermasalah.

Ini mungkin kerana sebahagian daripada mentol terkena pada gigi, dan otot rahang menjadi tegang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 3:33 PM