KERJA mengepam air di dalam lubang perlombongan sedalam 60 m untuk menyelamatkan pelombong yang terperangkap. FOTO AFP
KERJA mengepam air di dalam lubang perlombongan sedalam 60 m untuk menyelamatkan pelombong yang terperangkap. FOTO AFP
BERNAMA

Jakarta: Agensi penyelamat Indonesia, Basarnas menghantar sepasukan 10 pakar ke Jawa Tengah susulan insiden lapan pelombong emas terperangkap sedalam 60 meter (m) di lombong haram di Pancurendang, Banyumas sejak Rabu.

Ketua Basarnas Daerah Cilacap, Adah Sudarsa berkata, masyarakat setempat dan anggota keluarga turut giat membantu misi mencari dan menyelamat.

"Kami berharap keseluruhan proses pemindahan berjalan lancar," kata Sudarsa dalam satu kenyataan.

Operasi mencari dan menyelamat membabitkan lebih 220 anggota Basarnas, polis dan tentera dikerah di Pancurendang.

Objektif utama pasukan penyelamat adalah untuk mengepam air di dalam lubang perlombongan sedalam 60 m dan lima pintu masuk air berdekatan. Untuk mencapai matlamat ini, mereka menggunakan 13 mesin pam.

Lapan pelombong itu dilaporkan terperangkap sejak Rabu (7 pagi waktu Indonesia Barat) apabila air membanjiri kawasan itu.

Sementara itu, Polis Banyumas sudah menahan tiga individu berhubung kejadian itu dan kini, sedang menjejaki seorang lagi suspek.

Kesemua suspek adalah penduduk Ajibarang dan berdepan pertuduhan melanggar Undang-undang No 3 Tahun 2020 mengenai Pindaan Undang-Undang No 4 Tahun 2009 Pertambangan Mineral dan Perlombongan.

Ketiga-tiga suspek yang dikenal pasti sebagai pemilik tanah, pemilik tapak, pelabur dan pengendali lombong didakwa bertanggungjawab terhadap aktiviti melombong emas secara haram di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 8:20 AM