BUDI ketika hadir  pada majlis angkat sumpah jemaah menteri baharu. FOTO Antara Foto via Reuters
BUDI ketika hadir pada majlis angkat sumpah jemaah menteri baharu. FOTO Antara Foto via Reuters
Reuters

Jakarta: Presiden Indonesia, Joko Widodo pada Isnin mengumumkan rombakan kecil kabinet membabitkan pertukaran enam jawatan menteri.

Seorang daripada mereka ialah menteri komunikasi baharu yang dipilih berikutan penyandangnya dibicarakan atas dakwaan menerima sogokan bernilai AS$1.14 juta (RM5.20 juta).

Timbalan Menteri Pembangunan Daerah dan Kampung Budi Arie Setiadi menggantikan Johnny G Plate, yang ditahan pada Mei lalu kerana menerima bayaran daripada syarikat yang dikaitkan dengan program membina menara telekomunikasi dan membawa Internet ke ribuan kampung.

Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi mengumumkan perkara itu selepas majlis angkat sumpah jemaah menteri baharu.

Beliau berkata, Budi akan ditugaskan untuk meneliti kecerdasan buatan (AI) dan perlindungan data.

Katanya, penyelesaian kes rasuah itu perlu diutamakan.

Budi, mengasaskan kumpulan sukarelawan yang membantu dalam kempen pilihan raya Jokowi pada 2014.

Selain Budi, Jokowi juga mengumumkan timbalan menteri baharu bagi Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Hal Ehwal Kampung, Hal Ehwal Agama, Komunikasi dan Perusahaan Milik Negara.

Beliau juga melantik dua ahli baharu untuk Lembaga Penasihat khasnya.

Johnny, yang menafikan salah laku itu berdepan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah melakukan rasuah dalam projek yang menyaksikan kerugian negara dianggarkan AS$534.94 juta (RM2,438.52 juta)

Beliau adalah menteri kelima dalam dua pentadbiran presiden yang didakwa atas tuduhan rasuah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 2:34 PM