MEMBERI makan memulakan persahabatan Ambo dan buaya air masin, Rizka. FOTO Agensi.
MEMBERI makan memulakan persahabatan Ambo dan buaya air masin, Rizka. FOTO Agensi.
Agensi

Jakarta: Seorang nelayan Indonesia mendakwa dia bersahabat baik dengan buaya air masin selama lebih 20 tahun, bahkan menganggap reptilia sepanjang empat meter itu sebagai sebahagian daripada komuniti tempatan.

Ambo, 59, dari Kota Bontang, Kalimantan Timur dikenali bak selebriti kerana persahabatan luar biasanya dengan buaya air masin gergasi yang diberi nama Rizka.

Reptilia itu menjadi sebahagian daripada kehidupan Ambo selama 26 tahun selepas kali pertama melihatnya di perairan Pupuk, Kalimantan Timur ketika menangkap ikan.

Ketika itu Rizka bersaiz kira-kira satu meter, berenang melepasi bot dan tidak begitu dipedulikan Ambo, sehinggalah haiwan itu dilihat seperti mengikutnya pulang.

Ambo kemudian mengambil sedikit makanan dan melemparkannya ke dalam air untuk dimakan Rizka, yang menandakan permulaan persahabatan mereka, lapor Oddity Central.

"Sejak hari itu saya selalu melakukan perkara sama (beri Rizka makan). Jika saya tidak melihatnya selama dua atau tiga hari, saya akan mencarinya. Saya layan dia seperti anak saya sendiri," katanya.

Rizka kerap dilihat terapung berhampiran bot Ambo dan tidak berlalu pergi sehingga diberi makan dan Ambo mengusap belakang kepalanya.

Malah ketika haiwan itu turut mendekati rumah Ambo yang berada di pinggir muara, mencari makanan.

"Saya selalu bagi Rizka makan tiga ekor ayam. Sebaik sahaja dia diberi makan, dia berenang jauh. Apabila saya keluar dari kampung, saya akan memberitahu jiran saya untuk memberi makan kepada Rizka semasa saya tiada," katanya.

Walaupun sudah menjadi sahabat baik, Ambo mengakui bahawa dia tetap takut duduk begitu dekat dengan buaya sepanjang empat meter itu yang boleh menelannya jika tidak berhati-hati.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 4:13 PM