MANIT menyerah diri selepas menembak mati isterinya. FOTO Agensi
MANIT menyerah diri selepas menembak mati isterinya. FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Akibat cemburu, seorang lelaki di Thailand membunuh isteri di hadapan anak lelaki mereka yang berumur tujuh tahun.

Portal The Thaiger melaporkan, lelaki dikenali Manit, 30, bertindak begitu selepas mendapati isterinya berbalas mesej dengan lelaki lain menerusi telefon.

Kejadian dilaporkan berlaku di wilayah Chon Buri dan menyaksikan lelaki itu melepaskan dua das tembakan ke arah isterinya yang berusia 30 tahun sebelum menyerah diri kepada polis.

Mayat wanita berusia 30 tahun dikenali sebagai Bee ditemukan dalam keadaan tertiarap di dapur sebuah rumah dua tingkat dengan dua kesan tembakan di leher kirinya.

Kelongsong peluru 9mm tunggal dan kepalanya (peluru) ditemui berhampiran mayat bersama telefon bimbit mangsa.

Manit tidak melarikan diri dari tempat kejadian sebaliknya menunggu polis sebelum menyerahkan pistol yang digunakannya untuk melakukan jenayah itu.

Ketika disoal siasat awal, Manit mengaku menembak isterinya.

Pasangan yang sudah berkahwin selama lebih 10 tahun dan mempunyai dua anak berumur tujuh serta 10 tahun itu mengalami masalah dalam hubungan mereka, terutamanya semasa Manit bekerja di luar negara di Greenland.

Konflik berlaku selepas Manit dapat tahu isterinya berhubung dengan lelaki lain yang membawa kepada pertikaian lanjut sekembalinya ke Thailand.

Manit mendedahkan, pada hari kejadian, anak bongsunya meminta ibunya menghidupkan Internet tetapi dimarahi untuk makan malam terlebih dahulu.

Pada waktu itu, Manit sedar isterinya sedang berbual dengan seseorang dan meminta untuk melihat telefon bimbit isterinya yang berlari ke bilik air kemudian mengunci pintu.

Isterinya bersembunyi di siling tetapi secara tidak sengaja terjatuh ke lantai.

Apabila Manit mengambil dan memeriksa telefonnya, dia menemui mesej daripada perbualan isterinya dengan lelaki lain.

Manit memberitahu pihak berkuasa bahawa dia cuba bercakap dengan isteri tetapi wanita itu cuba melarikan diri hingga mendorongnya untuk melepaskan tembakan.

Berikutan itu, polis menahan Manit untuk disoal siasat lanjut dan akan mengambil tindakan mengikut undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 11:54 AM