LIANG Shi menduduki peperiksaan utama dikenali sebagai 'gaokao' untuk kali ke-27. FOTO Agensi
LIANG Shi menduduki peperiksaan utama dikenali sebagai 'gaokao' untuk kali ke-27. FOTO Agensi
AFP

Beijing: Antara berjuta-juta pelajar sekolah menengah yang menduduki peperiksaan yang digeruni atau lebih dikenali sebagai 'gaokao' untuk kemasukan kolej pada Rabu lalu, seorang lelaki bernama Liang Shi, kelihatan begitu menonjol sekali.

Dengan rambutnya yang beruban, Liang Shi menduduki peperiksaan itu buat kali ke-27.

Liang, 56 tahun, bukanlah tidak bijak, sebaliknya dia yang bergelar jutawan mula melakukan kerja-kerja kasar di sebuah kilang sehingga sekarang sudah berjaya membangunkan perniagaan bahan pembinaan sendiri.

Namun, hanya satu impian beliau yang masih belum dicapai, iaitu mendapatkan markah tinggi dalam peperiksaan 'gaokao' itu untuk meneruskan pendidikannya di Universiti Sichuan - satu daripada institusi pengajian yang unggul.

Untuk bersaing dengan hampir 13 juta pelajar sekolah menengah yang menduduki peperiksaan itu tahun ini, Liang berkata, beliau menjalani kehidupannya seperti seorang sami yang berdisiplin selama beberapa bulan.

Beliau akan bangun tidur sejurus selepas subuh untuk membaca buku teks selama 12 jam sehari.

"Saya betul-betul ingin ke universiti dan menjadi seorang cendekiawan," Liang memberitahu AFP.

Sepanjang empat dekad yang lalu, warga Sichuan itu sudah menduduki peperiksaan 'gaokao' sebanyak 26 kali, namun gagal untuk meraih keputusan yang diperlukan supaya beliau dapat ke universiti pilihannya.

Bagi seorang pelajar, keputusan 'gaokao' yang bagus dapat menentukan perjalanan hidup seseorang, di mana mereka akan meraih ijazah daripada universiti yang akan memberikan mereka penghormatan, kedudukan dan peluang pekerjaan lebih baik.

Pertama kali Liang menduduki peperiksaan itu pada 1983, ketika beliau berusia 16 tahun.

Beliau terus mencuba untuk mendapatkan markah lebih tinggi selama sedekad seterusnya, sehingga beliau berputus asa pada 1992. Peperiksaan pada masa itu dihadkan kepada seseorang di bawah usia 25 tahun.

Sejurus selepas had umur itu ditarik balik pada 2001, keinginan Liang untuk mendapatkan pendidikan kolej berprestij bersinar semula.

Sejak itu, beliau menduduki peperiksaan sebanyak 16 kali lagi, termasuk setiap tahun sejak 2010 dan apabila sekatan sifar Covid-19 yang ketat menyebabkan proses menduduki peperiksaan itu lebih mencabar.

Ramai warga siber mempersoalkan sama ada obsesinya adalah hanya untuk mendapatkan perhatian orang.

"Untuk apa saya lakukannya demi mendapat perhatian orang?" kata Liang.

Liang malah berseloroh, bahawa beliau terpaksa berhenti meminum minuman keras dan bermain mahjong semasa mempersiapkan dirinya bagi peperiksaan itu.

Apabila ditanya bagaimana beliau akan meraikan tamatnya peperiksaan itu pada hujung minggu ini, Liang berkata beliau merancang untuk berseronok.

"Saya akan bermain mahjong bersama rakan-rakan saya selama tiga hari dan tiga malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 11:31 AM