LIANG Shi tidak berputus asa untuk mencapai impiannya untuk menjadi penuntut universiti. FOTO Weibo
LIANG Shi tidak berputus asa untuk mencapai impiannya untuk menjadi penuntut universiti. FOTO Weibo
Agensi

Beijing: Seorang lelaki di China masih bersemangat untuk menduduki peperiksaan kali ke-26 bagi membolehkan dia melanjutkan pengajian di Universiti Sichuan.

Liang Shi, 55, tidak menjadikan usianya sebagai penghalang untuk dia menjadi mahasiswa di universiti impiannya.

Dia yang mempunyai syarikat pembekalan bahan binaan di Chengdu mengambil peperiksaan gaokao yang menjadi peperiksaan untuk kemasukan mana-mana universiti di China, sejak 1983.

Terdapat ujian prapemilihan ketika itu dan dia tersingkir dalam pusingan pertama.

"Gred yang saya peroleh ketika itu rendah, namun impian untuk melanjutkan pengajian tetap tinggi.

"Ini menyebabkan saya tidak pernah menyerah kalah dan terus mencuba setiap tahun," katanya.

Beliau berkata, dia terpaksa melepaskan 14 peluang menduduki peperiksaan disebabkan komitmen kerja selain polisi terdahulu yang hanya membenarkan calon bujang berusia bawah 25 tahun saja menduduki peperiksaan.

Namun, syarat itu ditarik semula pada 2001 dan ia membolehkan beliau kembali menduduki peperiksaan.

Markah terbaik yang pernah diperolehnya adalah 400 daripada 750 markah yang membolehkan dia memasuki peringkat kedua.

Namun, beliau mendapati skor itu sangat mengecewakan kerana markah itu tidak cukup tinggi untuk melayakkan dia melanjutkan pengajian di Universiti Sichuan.

"Saya sudah memasuki usia 55 tahun namun berasa masih muda selain tidak mempunyai masalah untuk subjek Sejarah dan Geografi," katanya.

Shi juga tidak mempedulikan kritikan dia menduduki peperiksaan itu hanya untuk mempromosikan perniagaannya.

"Saya tidak peduli dengan sindiran orang kerana mahu buktikan kejayaan dengan markah yang diperoleh nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 6:30 AM