Liang memegang parang selepas memecahkan tingkap van sekumpulan penipu di kampungnya.
Liang memegang parang selepas memecahkan tingkap van sekumpulan penipu di kampungnya.
Agensi

Guangdong, China: Seorang lelaki di sini, melaksanakan undang-undang sendiri apabila menggunakan parang untuk memaksa sekumpulan penipu memulangkan sejumlah besar wang hasil menipu golongan tua.

Kumpulan itu memperdaya penduduk tua di daerah Zhenlong supaya membeli peralatan kesihatan dan ubat yang tidak berguna dengan harga antara 500 yuan hingga 3,000 yuan (RM321 hingga RM1,928).

Menurut laporan Southern Metropolis Daily, apabila polis menyerbu kumpulan itu di kampung lelaki berkenaan dikenali sebagai Liang Xiongzhi, 44, Sabtu lalu, ketua kumpulan itu berjaya melepaskan diri dan bersembunyi dalam van.

Liang, bekerja sebagai pencari kayu gaharu yang sentiasa membawa parang dalam keretanya, bertindak memecahkan tingkap van berkenaan dan memaksa lelaki berkenaan memulangkan wang kepada pembeli.

Bimbang keselamatannya, lelaki itu menyerahkan lebih 100,000 yuan (RM64,282) untuk dipulangkan kepada golongan tua yang diperdaya kumpulannya.

“Penduduk kampung bersusah payah menyimpan wang dan jika penipu itu berjaya melarikan diri, mereka tidak akan mendapat kembali wang itu.

“Bagi saya, hanya perlu membayar ganti rugi tingkap van yang pecah jika polis mahu saya bertanggungjawab,” kata Liang.

Namun, lelaki itu serta kumpulan penipu berkenaan tidak membuat laporan polis mengenai ‘serangan’ Liang itu. - SCMP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2017 @ 5:36 PM