GAMABAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMABAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Bernama-Dpa

Wellington: New Zealand akan mengambil tindakan tegas terhadap penggunaan vape atau rokok elektronik untuk melindungi golongan mudanya, umum Menteri Kesihatan Ayesha Verrall pada Selasa, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Rokok elektronik pakai buang juga akan diharamkan mulai Ogos, melainkan hanya vape yang mempunyai bateri boleh tanggal atau boleh diganti dibenarkan dijual.

Vape memerlukan mekanisme keselamatan kanak-kanak dan nama "berpotensi memikat" seperti "gula kapas" atau "donut jeli strawberi" akan diharamkan, kata Verrall. Hanya nama generik yang menerangkan perisa dengan tepat boleh digunakan seperti "beri".

"Terlalu ramai orang muda yang menggunakan vape, itulah sebabnya kami mengambil tindakan untuk menghentikannya," kata Verrall.

Kerajaan juga tidak akan membenarkan kedai baharu menjual vape diwujudkan dalam lingkungan 300 meter dari sekolah atau pusat tumpuan masyarakat, Marae.

"Kami sedar bahawa kami perlu mencapai keseimbangan antara menghalang golongan muda daripada mula menggunakan vape dan pada masa yang sama menyediakan vape sebagai alat berhenti untuk mereka yang benar-benar ingin berhenti merokok."

Verrall berkata vape memainkan peranan penting dalam mengurangkan jumlah perokok di negara ini.

"Kadar merokok di New Zealand adalah separuh daripada kadar 10 tahun lalu, dengan bilangan orang merokok menurun sebanyak 56,000 pada tahun lalu," katanya.

Australia mengharamkan vape rekreasi dan import vape bulan lalu. Negara itu juga melarang vape pakai buang dan mengenakan sekatan pada pembungkusan, perisa dan warna yang tersedia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 4:26 PM