WUJUD cecair perisa vape yang mudah diperoleh mengandungi bahan terlarang seperti ganja yang sememangnya sangat berbahaya kepada kesihatan.
WUJUD cecair perisa vape yang mudah diperoleh mengandungi bahan terlarang seperti ganja yang sememangnya sangat berbahaya kepada kesihatan.
Suliati Asri


Kuala Lumpur : Pemasaran berlebihan dilakukan pemain industri dilihat menarik minat kanak-kanak terutamanya untuk memiliki rokok elektronik dan vape.

Selain itu, cecair daripada pelbagai perisa dan reka bentuk vape yang dihasilkan pemain industri juga antara tarikan utama kanak-kanak ingin mencubanya.

Pengerusi Pertubuhan Green Lung Malaysia, Ho Rhu Yann berkata, walaupun negara mempunyai Akta Racun 1952, tetapi ia terpakai kepada cecair yang membabitkan nikotin saja.

Kata Rhu Yann, di Malaysia rokok elektronik atau vape mempunyai dua (2) jenis iaitu yang mengandungi nikotin dan tidak mengandungi nikotin.

"Dalam pasaran, sebenarnya 90 peratus daripada vape mengandungi nikotin. Tetapi dengan pelbagai perisa seperti perisa buah-buahan, kola ditambah bentuk pembungkusan yang menarik mengelirukan kanak-kanak dan merasakan ia sesuatu yang selamat.

"Malah melalui satu kajian dilaksanakan lebih 40 peratus kanak-kanak merasakan ia selamat kerana pemasaran yang dilakukan oleh pemain industri memberi tanggapan sedemikian," katanya.

Rhu Yann berkata, kajian terbaru dilakukan Universiti Johns Hopkins mendapati lebih daripada 2,000 bahan kimia dalam rokok elektronik serta vape boleh menyebabkan kanser.

"Kajian itu nyata bercanggah dengan dakwaan pemain industri yang mengatakan vape adalah selamat.

"Oleh itu, adalah sangat bahaya jika industri berterusan menjadikan keputusan kajian yang sudah lama sebagai 'modal' pemasaran mereka," katanya.

Rhu Yann berkata, jika benar pihak industri hanya mempromosikan produk mereka kepada perokok rokok konvensional atau rokok tembakau dan bukan golongan kanak-kanak, kenapa jumlah kanak-kanak yang menggunakan vape meningkat?

"Memang benar mengikut akta mereka tidak boleh menjual kepada kanak-kanak, tetapi adakah mereka akan melaksanakan tanggungjawab itu.

"Kalau mahu fokus kepada perokok, kenapa mereka tidak hanya mengeluarkan perisa tembakau yang sudah pasti tidak akan menarik minat kanak-kanak," katanya.

Terbaru, penjualan jam pintar yang sebenarnya adalah vape dan menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran sangat merisaukan.

Justeru, dalam hal ini, kata Rhu Yann masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam melindungi hak kanak-kanak.

"Kita memerlukan satu polisi menyeluruh yang boleh terus memutuskan bekalan dan tidak membenarkan generasi muda membeli dan menggunakannya.

"Sekiranya negara kita mahu mencapai negara bebas tanpa sebarang bentuk amalan merokok, inilah satu-satunya jalan penyelesaian. Tiada lain kerana jika kita masih tetap kembali kepada peraturan yang ada sekarang, ia tidak berkesan," katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Perubatan Keluarga Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Nur Amani Ahmad Tajuddin berkata, apabila bercakap mengenai kanak-kanak, kita perlu lihat pada golongan 18 tahun ke bawah kerana mereka masih di bawah umur.

Menurutnya, jika dilihat kepada promosi rokok elektronik dan vape ia memfokuskan kepada kanak-kanak dan remaja kerana industri tembakau mengetahui golongan ini sangat yang mudah untuk dipengaruhi.

"Bagaimana mereka mempengaruhi golongan ini adalah dengan menggunakan platform media sosial seperti Facebook dan Instragram selain menggunakan selebriti.

"Sebagai contoh mereka menjualnya melalui 'live' di Facebook, dan kanak-kanak yang melihatnya boleh terus melakukan pembelian. Cara ini secara tidak langsung mempermudahkan kanak-kanak untuk mendapatkannya tanpa sebarang kawalan," katanya.

Dalam usaha menangani masalah ini, Nur Amani berpendapat semua pihak harus memainkan peranan dalam membantu kanak-kanak dan remaja ini agar tidak terbabit dalam masalah ini.

"Jika generasi ini dibiarkan terus terbabit dalam masalah ini, ia adalah sesuatu yang berbahaya kepada mereka.

"Malah berdasarkan tinjauan yang kami lakukan, ada generasi ini yang mengambil barang terlarang daripada rokok elektronik dan vape.

"Ini kerana ada cecair perisa yang mudah diperoleh mengandungi bahan terlarang seperti ganja yang sememangnya sangat berbahaya kepada kesihatan," katanya.


Atasi rokok seludup, naikkan cukai mampu kurangkan prevalen perokok

Kuala Lumpur: Penguatkuasaan dengan meningkatkan denda dan memastikan peniaga mempunyai lesen menjual rokok antara langkah boleh diambil bagi mengatasi isu rokok haram atau rokok seludup.

Pakar Ekonomi Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWatch) Prof Madya Dr Norashidah Mohamed Nor berkata, kajian yang dilakukannya mendapati bahawa faktor utama menyebabkan lambakan rokok haram adalah kerana masalah penguatkuasaan dan rasuah.

Katanya, memang benar kerajaan boleh mengenakan denda atau tindakan dan sebagainya tetapi penguatkuasaan itu yang penting.

"Selain menaikkan denda, dengan memastikan penjual mempunyai lesen, pastinya mereka tidak akan menjual rokok haram," katanya.

Dr Norashidah berkata, kita sedia maklum pihak berkuasa terutama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sudah melakukan pelbagai aktiviti tangkapan terutama di pintu masuk tetapi bagaimana kalau rokok haram itu sudah berjaya di seludup?

"Dalam hal ini, kerjasama semua pihak dan penguatkuasaan sangat penting dan perkara ini juga sudah dilakukan di banyak negara.

"Selain pihak berkuasa, orang kampung dan masyarakat setempat juga boleh melaksanakan penguatkuasaan dengan membuat laporan, tangkapan, ataupun aduan. Saya rasa itu boleh membantu," katanya.

Ditanya adakah pelaksanaan Akta generasi penamat rokok atau Generational Endgame (GEG) akan meningkatkan lagi kemasukan rokok seludup, Dr Norashidah berkata tidak ada kaitan antara rokok seludup dengan GEG.

Katanya, dengan pelaksanaan GEG, sepatutnya generasi yang lahir pada tahun 2007 tidak akan mengenal rokok.

"Kalau mereka tidak kenal rokok, ini bermakna mereka tidak akan menghisap rokok dan juga vape. Jadi, kalau mereka tidak hisap rokok dan vape, perlukah mereka cari rokok tidak sah?

"Secara logiknya, menerusi GEG ini, kita mahu halang mereka daripada merokok. Dengan itu, apabila mereka tidak ada kebiasaan, tidak ada keperluan nak merokok dan tiada tahap ketagihan, kenapa mereka nak cari rokok tidak sah.

"Bagaimanapun, ini bagi generasi yang lahir pada 2007. Isu perokok yang beralih kepada rokok haram ini adalah mereka yang ketagih pada rokok," katanya.

Dr Norashidah yang juga Timbalan Dekan (Pra siswazah dan Alumni), Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia berkata, kenaikan cukai memang mampu mengurangkan prevalen perokok.

"Dengan menaikkan cukai rokok, ada dua objektif yang boleh dicapai iaitu pertama, kerajaan boleh mendapat bayaran cukai kerana perokok tegar akan tetap membeli rokok walaupun harga mahal.

"Kedua, bagi mereka yang bukan perokok tegar, mereka akan lihat kos naik harga rokok dan secara tidak langsung berhenti merokok," katanya yang mencadangkan kenaikan harga rokok sebanyak 20 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 6:30 AM