LAPORAN portal Harian Metro semalam
LAPORAN portal Harian Metro semalam
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memandang serius seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang disyaki mengalami keracunan nikotin akut selepas mengalami gejala batuk, muntah serta sesak nafas di Bera, Pahang.

Pegawai Pendidikan CAP dan Aktivis Anti Merokok NV Subbarow, berikutan kejadian berkenaan, sekarang adalah masa yang sesuai dan 'contoh' terbaik kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengambil tindakan segera.

"Kejadian ini ibarat siren amaran bahaya kepada kerajaan malah KKM hendaklah segera mengharamkan vape dan e-rokok.

"Semakin lama KKM menunggu, semakin ramai kanak-kanak ketagih vape, " katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu media melaporkan kanak-kanak itu mungkin mengalami keracunan nikotin akut selepas dipercayai tertelan cecair daripada peranti rokok elektronik (vape) jenis pakai buang pada 30 Mei lalu.

Subbarow berkata, CAP juga menggesa kerajaan supaya mengambil langkah segera menghentikan penjualan cecair kimia vape yang mudah didapati di kedai dan gerai tepi jalan tanpa sebarang kawalan.

Katanya, KKM juga digesa supaya tidak membuang masa bagi menyelamatkan generasi muda daripada merosakkan nyawa sendiri dengan cecair nikotin beracun yang dijual kepada mereka sebagai perisa buah-buahan.

Malah, industri tembakau pada masa ini mengelirukan anak muda dengan menjual racun nikotin kepada golongan itu.

"Semasa penganjuran program kesedaran anti vape dan e-rokok oleh CAP baru-baru ini, peserta terdiri daripada anak muda menganggap cecair vape diperbuat daripada buah-buahan.

"Mereka percaya cecair berasaskan nikotin itu dihasilkan dari buah-buahan kerana baunya seperti buah-buahan, coklat dan perisa manis atau gula-gula.

"CAP sudah tiga tahun aktif menjalankan kempen anti merokok dan vape di sekolah sekitar Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor dan didapati kanak-kanak berusia antara enam tahun hingga 12 tahun kini menjadi ketagih atau 'vapeholics', " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 4:51 PM