LUOXIAOMAOMAOZI maut selepas minum racun secara penstriman langsung di platform Douyin. FOTO AGENSI
LUOXIAOMAOMAOZI maut selepas minum racun secara penstriman langsung di platform Douyin. FOTO AGENSI
Agensi

Beijing: Gara-gara mahu mendapatkan wang dengan mudah, seorang pekerja pusat pengebumian tergamak mencuri abu mayat seorang pempengaruh.

Dia dikatakan berpakat dengan dua lagi rakan untuk menjual abu berkenaan kepada pembeli yang mahu melakukan ritual perkahwinan hantu.

Menurut Malay Mail, ritual perkahwinan hantu adalah tradisi di sesetengah wilayah di China sejak 3,000 tahun lalu kerana mereka percaya si mati perlu berkahwin untuk mengekalkan keturunan.

Amalan itu lazimnya dilakukan ibu bapa yang mahu anak mereka yang meninggal dunia menemui pasangan, turut dilarang di China untuk beberapa dekad lalu namun kini kembali diamalkan.

Sementara itu, lapor Daily Star yang memetik laporan media tempatan, pempengaruh terbabit dikenali sebagai Luoxiaomaomaozi yang maut pada 15 Oktober lalu selepas minum racun secara penstriman langsung di platform Douyin.

Wanita itu yang memiliki 678,000 pengikut dikatakan berkongsi mengenai masalah kemurungan dialaminya dan memaklumkan video itu adalah yang terakhir.

Mayatnya dibakar sebelum abu berkenaan dicuri pekerja pusat pengebumian itu.

Bagaimanapun niat jahat tiga lelaki gagal apabila mereka bukan sahaja tidak menemui pembeli, malah lebih malang lagi ditahan pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 6:30 AM