FOTO tular menunjukkan wanita itu pergi ke tempat kerja dengan IV pada tangannya. FOTO Agensi
FOTO tular menunjukkan wanita itu pergi ke tempat kerja dengan IV pada tangannya. FOTO Agensi
Agensi

Shanghai: Seorang wanita di bandar ini dilihat berjalan untuk menaiki kereta api bawah tanah, dengan titisan intravena (IV) pada tangannya.

South China Morning Post (SCMP) yang memetik laporan portal berita The Paper melaporkan, video wanita itu dirakam oleh orang ramai ketika dia berada di eskalator di stesen kereta api bawah tanah di sini, kira-kira 10 malam, pada akhir bulan lalu.

''Pada mulanya, saya fikir dia memegang botol minuman.

"Apabila saya menyedari ia adalah botol cecair IV dan dia sedang dimasukkan IV, saya fikir dia kuat dan kehidupan tidak mudah untuknya. Hati saya agak sakit untuknya,'' kata lelaki yang mengambil video memaparkan wanita itu yang disiarkan di aplikasi Douyin.

Difahamkan, wanita dalam video itu mempunyai studio tarian di Shanghai, yang terletak 20 kilometer (km) dari rumahnya.

Dia mendedahkan tidak mampu untuk pergi ke hospital pada waktu siang kerana dia baru memulakan perniagaannya dan belum mengupah mana-mana kakitangan lagi.

"Jika saya pergi menerima IV di hospital selepas 10 malam setiap hari dan menghabiskan titisan (IV) pada 2 pagi, saya tidak akan cukup rehat kerana saya perlu membuka studio saya (pada waktu lebih awal).

"Jadi saya bertanya kepada doktor sama ada saya boleh mengambil cecair IV. Saya memberitahu mereka saya pernah belajar perubatan sebelum ini dan saya boleh memasukkannya sendiri. Doktor bersetuju,'' katanya.

Dia mengakui bahawa tingkah lakunya kelihatan tidak masuk akal dan memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak mencubanya.

"Sila maklum bahawa terdapat terlalu banyak faktor yang tidak terkawal dalam proses infusi, seperti alahan akut dan tiubnya pecah.

"Ia boleh menyebabkan jangkitan, mungkin juga terdapat reaksi buruk yang boleh membahayakan nyawa anda.

"Adalah berbahaya untuk menerima infusi IV di luar hospital. Saya minta maaf kerana tingkah laku saya memberi kesan negatif kepada orang ramai,'' katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 10:37 AM