STATISTIK menunjukkan strain BA.4 dan BA.5 menjadi dominan di Australia. FOTO EPA-EFE
STATISTIK menunjukkan strain BA.4 dan BA.5 menjadi dominan di Australia. FOTO EPA-EFE
Reuters

Sydney: Seramai 5,450 warga Australia dimasukkan ke hospital akibat Covid-19, Isnin lalu, ketika penyebaran subvarian baharu Omicron yang kian menular menjejaskan sistem penjagaan kesihatan di seluruh negara.

Angka itu meningkat sejak akhir Jun, apabila strain BA.4 dan BA.5 menjadi dominan kerana ia boleh mengelak perlindungan imun, sama ada daripada vaksinasi atau jangkitan sebelumnya, lapor The Straits Times.

Sesetengah pakar mendakwa strain BA.5 boleh berjangkit seperti campak.

Jumlah mereka yang berada di hospital adalah tertinggi sejak kemunculan Covid-19, melebihi paras tertinggi Januari iaitu 5,390 semasa gelombang pertama jangkitan Omicron.

Angka kematian harian juga meningkat, melebihi 100 orang, pada Sabtu, buat kali pertama.

Kerajaan berkata, lebih 1,000 rumah penjagaan diserang wabak dan menjejaskan sebahagian besar penghuni di sana.

Beberapa pusat jagaan warga emas menghadapi kekurangan kakitangan, khidmat sokongan pasukan keselamatan di situ dilanjutkan hingga akhir September, kata Menteri Pertahanan, Richard Marles.

"Ia langkah drastik dan tepat untuk menggambarkan keadaan itu. Memandangkan jumlah wabak kita hadapi sekarang, ini perkara betul dilakukan," katanya kepada televisyen ABC.

Ramai pekerja barisan hadapan di hospital juga sakit atau menjalani kuarantin, memburukkan lagi krisis penjagaan kesihatan.

Ketika musim sejuk yang teruk dengan Covid-19 dan virus selesema yang menular, pihak berkuasa mengesyorkan penggunaan topeng di dalam rumah dan dos vaksin penggalak segera, selain kebenaran bekerja dari rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 6:30 AM