FOTO tular menunjukkan seorang lelaki dipercayai mengambil cap jari wanita yang sudah meninggal dunia. FOTO Twitter
FOTO tular menunjukkan seorang lelaki dipercayai mengambil cap jari wanita yang sudah meninggal dunia. FOTO Twitter
Agensi

New Delhi: Tular video yang menunjukkan seorang lelaki mengambil cap ibu jari jasad seorang wanita menyebabkan polis India menyiasat kes yang disyaki pemalsuan wasiat.

Wanita dalam video itu dikenal pasti sebagai Kamala Devi oleh saudaranya, Jitendra Sharma.

Difahamkan, Sharma membuat laporan kepada polis tempatan, baru-baru ini.

Wanita itu adalah ibu saudaranya.

Keluarganya membuat laporan polis pada 2021, tetapi tiada tindakan diambil ketika itu, lapor media India.

Sharma mendakwa video itu dirakam apabila abang ipar Devi, Vajinath Kumar dan anaknya Rajeev singgah di pejabat peguam, selepas wanita berusia 80 tahun itu meninggal dunia.

"Semasa mereka membawa mayatnya pulang ke rumah (dari hospital), mereka mengambil cap ibu jarinya pada dokumen dan menyediakan wasiat palsu selepas menghubungi peguam," kata Sharma dalam laporan polisnya merujuk kepada Kumar dan anaknya.

Dalam video itu, seorang lelaki boleh dilihat berdiri dengan seorang wanita yang terbaring di tempat duduk belakang kereta, dengan keadaan mulutnya yang ternganga.

Dibantu oleh seorang lelaki, sementara seorang lagi melihat, lelaki pertama berbaju putih dan berkot hitam menekan ibu jari wanita itu pada pad dakwat dan pada dokumen.

Klip berdurasi 45 saat itu disebarkan di media sosial pada April, hampir dua tahun selepas kematian Devi pada 8 Mei 2021, Sharma memberitahu media India.

Tidak diketahui siapa yang merakam video itu.

Dia berkata, dokumen itu adalah wasiat palsu yang digunakan oleh saudara-mara Devi untuk mewarisi sebuah rumah dan rumah kedai miliknya.

Tambahnya lagi, Devi adalah seorang balu yang tiada anak.

Sharma berkata, syak wasangka keluarganya mula dibangkitkan dua tahun lalu apabila mereka mengetahui cap ibu jari yang digunakan untuk mengesahkan wasiat itu kerana Devi diketahui hanya menggunakan tandatangannya.

"Firasat kami disahkan selepas video itu mula tersebar di media sosial," katanya kepada The Times of India.

Lelaki dalam video itu disyaki seorang peguam di Agra, sebuah bandar di negeri utara Uttar Pradesh.

Polis Agra pada Selasa mendakwa tiga lelaki termasuk seorang profesional undang-undang atas pelbagai kesalahan termasuk menipu, lapor media India.

"Perkara itu membabitkan pertikaian harta antara saudara-mara wanita yang meninggal dunia. Video tular itu sedang diperiksa," kata seorang pegawai polis Agra.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 12:48 PM