PASUKAN keselamatan Israel ketika pertempuran dengan penduduk Palestin di Masjid Al-Aqsa, pada 5 April lalu. FOTO AFP
PASUKAN keselamatan Israel ketika pertempuran dengan penduduk Palestin di Masjid Al-Aqsa, pada 5 April lalu. FOTO AFP
Agensi.

Baitulmaqdis: Tentera Israel pada Rabu menyerbu kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki untuk kali kedua berturut-turut, lapor Bernama yang memetik Agensi Anadolu.

Saksi memberitahu Agensi Anadolu, tentera Israel menyerbu Balai Solat Al-Qibli selepas solat tarawih, melemparkan bom tangan dan memukul jemaah Palestin.

Sementara itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata, pasukan perubatan merawat enam rakyat Palestin di lokasi kejadian, dua daripada mangsa dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Menurut akhbar Israel, Yedioth Ahronoth, rakyat Palestin didakwa bertindak membaling batu dan bunga api ke arah tentera Israel.

Sebelum ini, kira-kira 350 jemaah ditahan dalam serbuan pertama tentera Israel ke atas masjid berkenaan.

Menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan Palestin, polis Israel mula membebaskan tahanan dengan syarat mereka tidak dibenarkan berada di Masjid Al-Aqsa dan Kota Lama Baitulmaqdis selama seminggu.

Dalam pada itu, AFP melaporkan kritikan dan kebimbangan dunia semakin memuncak berikutan tindakan polis Israel menyerang penduduk Palestin di Masjid Al-Aqsa sehingga mencetuskan serangan udara serta berbalas tembakan roket.

Dua lagi roket ditembak dari Semenanjung Gaza ke arah Israel, semalam.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres terkejut melihat rakaman menunjukkan pasukan keselamatan Israel memukul jemaah masjid pada bulan mulia yang sepatutnya menjadi tempoh keamanan, kata jurucakap.

Jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan Rumah Putih John Kirby berkata, Amerika Syarikat (AS) sangat bimbang dengan keganasan berterusan dan menggesa semua pihak mengelak daripada memburukkan lagi ketegangan.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, yang negaranya menjalin semula hubungan diplomatik dengan Israel berkata, serangan ke atas masjid Al-Aqsa adalah 'garis merah kami'.

Semalam, polis Israel bertempur dengan rakyat Palestin ketika jemaah berkumpul untuk solat Maghrib.

Seorang wartawan AFP melihat pasukan keselamatan Israel menghalang laluan masuk ke masjid.

Jurucakap kepada Presiden Palestin Mahmud Abbas berkata, Israel mewujudkan keadaan yang semakin meruncing, tidak stabil dan tegang selain memberitahu polis menyerbu masjid serta menyerang jemaah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 10:53 AM