YOUYOU mencium gambar ibunya. FOTO Douyin
YOUYOU mencium gambar ibunya. FOTO Douyin
Agensi

Beijing: Gelagat anak kecil ini mengucup gambar ibunya yang disangka masih hidup amat meruntun hati jutaan rakyat China.

Dalam rakaman video tular yang dipetik SCMP, kanak-kanak berkenaan dilihat mengucup gambar perkahwinan ibu bersama bapanya sebelum lelaki itu mengelap dan menyimpannya di tempat selamat.

Kanak-kanak itu tidak menyedari ibunya yang disangka masih berada di hospital rupanya sudah meninggal dunia akibat kanser tahun lalu.

Youyou yang berusia tiga tahun dengan gembira mencium pipi ibunya pada salah satu gambar perkahwinan ibu bapanya, sambil melihat mereka bersama bapa dan neneknya pada 23 Februari lalu di wilayah Anhui, timur China.

Menurut bapanya, Li, yang memuat naik video berkenaan, anak kecil itu menyangka ibunya yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru, Disember lalu masih hidup di hospital.

Li mengumumkan kematian isterinya di Douyin pada Februari lalu dan berazam akan terus memenuhi hasrat isterinya supaya membesar Youyou dengan ceria dan sihat.

Ibu Youyou, Xu Qiao, disahkan menghidap kanser paru-paru tahap akhir pada Mei 2020, ketika Youyou baru berusia enam bulan.

Sejak itu sehingga kematiannya, Xu menyiarkan lebih 400 video pada akaun Douyinnya @Youyoumama, dalam usaha untuknya hidup lebih lama dan memberi anaknya lebih ramai kawan.

Xu berkata, perkara pertama yang dia fikirkan selepas mendengar diagnosis itu ialah Youyou dan anak kecil itulah yang memberinya kekuatan untuk melawan penyakit itu selagi dia boleh.

Xu menghabiskan sebanyak mungkin masa bersama Youyou di antara rawatan kemoterapi dan membuat album dengan foto yang mendokumentasikan detik-detik yang mereka habiskan bersama sepanjang hayatnya.

Menurut Xu, dia mahu Youyou mempunyai sesuatu apabila rakan sekelasnya bertanya kepada mengenai ibunya pada masa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 3:23 PM