CALON hadir temu duga dengan memakai topeng muka. FOTO Agensi
CALON hadir temu duga dengan memakai topeng muka. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Sebuah syarikat di Chengdu, China dipuji kerana meminta calon yang hadir ke temu duga kerja dan perekrut memakai topeng muka bagi mengelak diskriminasi berdasarkan rupa.

Oddity Central melaporkan, Chengdu Ant Logistics baru-baru ini menjadi tajuk utama berita selepas video yang menunjukkan sesi temu duga itu tular di laman sosial China.

Video klip pendek itu dirakam oleh salah seorang calon dan menunjukkan beberapa individu menunggu untuk ditemu duga oleh seorang perekrut turut memakai topeng muka.

Menerusi satu kenyataan, syarikat itu mendakwa video itu dirakam ketika sesi pengambilan dua kali setahun baru-baru ini dan kewajipan memakai topeng muka diperkenalkan untuk menghapuskan berat sebelah berdasarkan rupa.

Syarikat logistik China itu berkata, kaedah pengambilan pelik itu dilaksanakan untuk mengurangkan tahap tekanan calon dan menekankan hakikat bahawa ia menghargai kebolehan individu berbanding penampilan mereka.

Video tular di laman sosial China itu mendapat maklum balas positif daripada jutaan yang menonton dengan kebanyakannya tidak kisah memakai topeng muka ketika hadir ke temu duga kerja.

"Sebagai seorang yang fobia sosial, saya sangat menikmati temu duga kerja seperti itu," tulis seorang pengguna di Douyu.

"Ini adalah kesaksamaan, ketampanan tidak sepatutnya dikira," tulis seorang lagi pengguna.

Bagaimanapun, ada pihak meragui kesahihan penjelasan yang dibuat oleh syarikat itu.

Walaupun rakaman dirakam oleh calon sebenar, topeng muka itu didakwa dikeluarkan untuk melindungi identiti orang ramai kerana proses temu duga disiarkan secara langsung.

Ada yang mendakwa bahawa selepas video itu menjadi tular, Chengdu Ant Logistics hanya menjadikan wawancara itu sebagai aksi publisiti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 12:47 PM