FOTO fail menunjukkan bangunan yang musnah susulan gempa bumi di Jandaris, Syria. FOTO Reuters
FOTO fail menunjukkan bangunan yang musnah susulan gempa bumi di Jandaris, Syria. FOTO Reuters
AFP

Shaykh al Hadid, Syria: Seorang ibu, Ummu Esmat yang tinggal di Syria yang dilanda perang, menyambut Ramadan tahun ini dengan berat hati selepas gempa bumi menyebabkannya terpaksa meninggalkan rumah.

Kini, dia tinggal di kawasan luar bandar yang dikuasai pemberontak di utara Syria.

Dia meletakkan beberapa beg, kurma, nasi dan gula-gula untuk berbuka puasa di khemah perlindungannya.

"Ramadan tahun ini tidak akan sama seperti tahun-tahun sebelumnya," katanya ketika duduk di dalam khemah sunyi berhampiran rumahnya, yang hanya dilengkapi dengan tilam dan pemanas.

Dinding rumahnya sama ada runtuh atau retak dalam gempa bumi bermagnitud 7.8 yang melanda pada 6 Februari lalu, membunuh hampir 6,000 orang di Syria dan puluhan ribu lagi di negara jiran Turkiye.

Bencana itu menambahkan lagi kesengsaraan kepada penduduk barat laut Syria yang dilanda perang selama 12 tahun.

Konflik yang meletus pada 2011 dengan penindasan kejam terhadap protes aman sudah mengorbankan lebih 500,000 orang.

Di sebuah kem berdekatan di bandar Jindayris, Syria, yang terjejas teruk kerana gempa bumi, Hilal Safarjali menjual coklat, biskut dan gula-gula di gerai.

Ia sebagai sumber mata pencarian selepas hilang tempat tinggal susulan bencana berkenaan.

"Saya tidak boleh mengucapkan selamat menyambut Ramadan. Kami tidak sihat selepas gempa bumi," kata lelaki berusia 50-an itu, yang berpindah dari Damsyik.

Jiran Safarjali, Ummu Jumaa berkata, dia masih berkabung selepas suaminya yang terkorban dalam bencana itu.

"Ramadan ini tanpa suami pastinya amat sukar.

"Kami kehilangan dia, dan dia adalah ketua rumah tangga," katanya dengan linangan air mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 12:11 PM