FOTO HIASAN. FOTO fail Reuters
FOTO HIASAN. FOTO fail Reuters
BERNAMA

Bangkok: Thai AirAsia adalah antara syarikat penerbangan paling tepat masa di dunia dengan penarafan prestasi tepat masa (OTP) sebanyak 92.33 peratus pada 2022, menurut statistik oleh OAG.

OAG selaku penyedia maklumat penerbangan digital, risikan dan analisis terkemuka dunia bagi lapangan terbang, syarikat penerbangan dan syarikat teknologi perjalanan berkata, Thai Air Asia disenaraikan antara syarikat penerbangan terbaik dunia dari segi OTP dalam pelbagai kategori pada 2022.

Pencapaian itu termasuk menduduki tangga keempat daripada 20 syarikat penerbangan terbaik dari segi OTP sekali gus mencatat peningkatan daripada kedudukan ke-11 pada 2019 iaitu sebelum Covid-19.

Selain itu, Thai AirAsia turut menduduki tangga kedua daripada 20 syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dari segi OTP selain pada kedudukan kedua dalam kalangan syarikat penerbangan Asia Pasifik dari segi OTP.

Ketua Pegawai Eksekutif Thai AirAsia, Santisuk Klongchaiya menyambut baik keupayaan Thai AirAsia kerana dinobatkan antara yang terbaik bagi setiap kedudukan prestasi tepat masa bagi institusi industri penerbangan yang dikeluarkan pada awal tahun ini.

Pada awal bulan ini, Thai AirAsia dinamakan antara tiga syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dari segi prestasi tepat masa oleh Cirium.

OAG mentakrifkan prestasi tepat masa bagi penerbangan yang tiba dalam tempoh 15 minit mengikut jadual, manakala pembatalan penerbangan tidak dikategorikan sebagai menepati masa.

OAG adalah institusi terkemuka dan boleh dipercayai yang menilai kedudukan syarikat penerbangan dan lapangan terbang dari segi prestasi tepat masa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 4:11 PM