Brahmal Vasudevan.
Brahmal Vasudevan.
BERNAMA

Singapura: Pasangan Malaysia, Brahmal Vasudevan dan Shanthi Kandiah tersenarai dalam Wira Dermawan (Heroes of Philanthropy) 2022 Forbes Asia bersama 14 tokoh lain termasuk individu terkaya India Gautam Adani dan jutawan ekuiti swasta yang berpangkalan di Hong Kong, Jean Salata.

Edisi ke-16 senarai tahunan itu menonjolkan golongan altruis terkemuka di rantau Asia-Pasifik yang menunjukkan komitmen peribadi yang tinggi terhadap amalan dermawan seperti pendidikan dan alam sekitar.

"Senarai itu menonjolkan dermawan yang menyumbang kekayaan mereka sendiri dan meluangkan masa serta perhatian secara peribadi kepada mana-mana pihak yang menjadi pilihan," menurut Forbes Asia.

Vasudevan, 54, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) firma ekuiti swasta Creador yang berpangkalan di Kuala Lumpur dan isterinya yang juga seorang peguam Shanthi Kandiah, 53, menyokong komuniti tempatan di Malaysia dan India melalui Yayasan Creador, sebuah syarikat bukan berdasarkan keuntungan yang diasaskan bersama pada 2018.

Pada Mei tahun ini, mereka berikrar untuk menderma RM50 juta bagi membantu membina hospital pengajar di kampus Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Kampar di Perak.

Pasangan itu membantu menambah pembiayaan setelah mengetahui UTAR hanya dapat mengumpulkan separuh daripada jumlah yang diperlukan untuk membina kemudahan itu.

Kemudahan yang dijadual siap pada 2023 itu akan menyediakan penjagaan kesihatan pada kadar berpatutan.

"Kami gembira kerana ia turut mendorong orang lain untuk menyertai usaha ini dan nampaknya projek itu kini dibiayai sepenuhnya," kata Vasudevan.

Pada Mei, pasangan itu menderma £25 juta pound (RM133.6 juta) kepada Imperial College London - antara sumbangan terbesar dalam sejarah kolej itu - untuk mewujudkan Institute for Sustainable Aviation Brahmal Vasudevan yang bertujuan merintis teknologi bagi membantu industri penerbangan beralih kepada pencemaran sifar.

"Kami berpendapat kewujudan institut itu diharapkan dapat memberi impak bermakna dalam mengkaji kaedah bagaimana mengurangkan atau mencapai pencemaran sifar satu hari nanti," kata Vasudevan yang memperoleh ijazah sarjana muda dalam kejuruteraan aeronautik dari kolej tersebut pada 1990.

Menurut Forbes Asia, senarai itu tidak termasuk dermawan korporat, kecuali syarikat milik persendirian yang mana individu tersebut merupakan pemilik majoriti.

Senarai itu diletakkan bersama 15 kumpulan terpilih dengan sembilan peserta baharu tahun ini.

Penerima terdahulu boleh dipertimbangkan untuk diseneraikan semula jika mereka ada membuat sumbangan penting baru-baru ini.

Senarai penuh boleh didapati di www.forbes.com/altruists dan dalam edisi Disember Forbes Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 6:56 PM