FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Jakarta: Puluhan keluarga di Indonesia yang ahli keluarganya cedera atau meninggal dunia selepas mengambil cecair ubat batuk tercemar memfailkan saman terhadap kerajaan serta syarikat yang didakwa membekalkan produk itu.

Tuntutan saman itu menyasarkan kementerian kesihatan, agensi makanan dan ubat negara dan tujuh syarikat yang terbabit dalam penjualan cecair ubat berkenaan.

Awan Puryadi, wakil sah saudara mangsa, memberitahu AFP mereka mengambil tindakan kerana pihak berkuasa gagal menghalang penjualan ubat-ubatan berbahaya hingga mengakibatkan kematian atau kecederaan kanak-kanak.

"Tiada sesiapa yang mengaku bertanggungjawab. Mereka sangat kecewa dengan keadaan semasa.

"Kami menuntut pembekal ubat, farmasi, BPOM (agensi makanan dan ubat) dan kementerian kesihatan bertanggungjawab," kata Puryadi mengenai tuntutan mahkamah, yang difailkan pada 18 November lalu.

Menurut peguam, keluarga menuntut pampasan kira-kira dua bilion rupiah (kira-kira RM568,771) bagi setiap individu yang meninggal dunia dan kira-kira satu bilion rupiah (kira-kira RM248,386) bagi setiap mangsa yang cedera.

Pada masa ini, tindakan undang-undang bagi pihak sejumlah 12 keluarga, katanya, sambil menambah lebih ramai boleh menyertai usaha itu, pada masa hadapan.

Berikutan itu, polis menjalankan siasatan terhadap sekurang-kurangnya tiga syarikat yang mempunyai lesen untuk mengeluarkan cecair ubat ubat batuk, dibekukan buat sementara waktu.

Dalam pada itu, Indonesia menyaksikan peningkatan dalam kes kecederaan buah pinggang akut sejak Ogos, dengan kematian sekurang-kurangnya 199 individu, kebanyakannya kanak-kanak.

Ia menyebabkan siasatan dan pengharaman beberapa penjualan ubat cecair.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 3:04 PM