GAMBAR dirakam wartawan Habib Khan menunjukkan suasana stadium bola sepak di Afghanistan, lokasi hukuman dijalankan. FOTO Twitter Habib Khan.
GAMBAR dirakam wartawan Habib Khan menunjukkan suasana stadium bola sepak di Afghanistan, lokasi hukuman dijalankan. FOTO Twitter Habib Khan.
Agensi

Kabul: Sekurang-kurangnya 12 orang disebat oleh Taliban di stadium bola sepak, di Afghanistan minggu ini kerana melakukan 'jenayah moral'.

Orang awam termasuk tiga wanita turut disebat di depan penonton di dalam stadium di wilayah Logar, Afghanistan timur.

Seorang pegawai Taliban berkata, mereka didapati bersalah kerana berzina, merompak dan homoseksual yang disifatkan boleh dihukum di bawah undang-undang Syariah.

Tiga wanita itu dibebaskan dan dibenarkan pulang selepas menerima hukuman mereka, jurucakap Taliban Omar Mansoor Mujahid memberitahu BBC, manakala beberapa lelaki yang turut disebat di stadium dihantar ke penjara selepas itu.

Tidak jelas berapa ramai lelaki yang dihantar ke penjara.

Lelaki dan wanita berkenaan disebat antara 21 hingga 39 sebatan setiap seorang.

Menurut undang-undang Islam, jumlah maksimum sebatan yang boleh diterima seseorang ialah 39, kata laporan itu, memetik seorang lagi pegawai Taliban.

Sekeping gambar stadium tempat sebatan yang tidak disahkan itu dikongsi oleh wartawan Habib Khan di Twitter.

Ia menunjukkan sekumpulan individu disyaki semuanya lelaki berkerumun di tepi, malah ada yang berdiri di dinding sempadan ketika dua lelaki kelihatan berada di tengah padang.

"Orang ramai berkumpul di sebuah stadium di wilayah Logar Afghanistan, bukan untuk satu perlawanan tetapi untuk menonton hukuman oleh Taliban," katanya di Twitter.

Ini adalah insiden hukuman kedua seumpama itu yang dilaksanakan oleh Taliban bulan ini.

Tiga hari sebelum ini, Mahkamah Tinggi negara itu berkata, 19 orang di timur laut Afghanistan disebat kerana berzina, mencuri dan melarikan diri dari rumah, dalam pengesahan rasmi pertama Taliban mengambil jalan keluar untuk melaksanakan undang-undang Islam yang ketat selepas menawan Kabul tahun lalu.

Pegawai Mahkamah Tinggi Abdul Rahim Rashid berkata, 10 lelaki dan sembilan wanita disebat 39 kali setiap seorang di bandar Taloqan di timur laut wilayah Takhar pada 11 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 3:50 PM