FOTO dikeluarkan oleh Pengawal Pantai Filipina menunjukkan pasukan penyelamat mengeluarkan mayat mangsa yang tertimbus di lokasi kejadian tanah runtuh di Maguindanao. FOTO AP
FOTO dikeluarkan oleh Pengawal Pantai Filipina menunjukkan pasukan penyelamat mengeluarkan mayat mangsa yang tertimbus di lokasi kejadian tanah runtuh di Maguindanao. FOTO AP
Reuters

Manila: Filipina merekodkan 72 kematian akibat Ribut Tropika Nalgae yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh di wilayah selatan, kata agensi bencana negara itu, hari ini.

Wilayah Maguindanao adalah yang paling terjejas dengan 67 orang terkorban, manakala dua terbunuh di Sultan Kudarat, dua lagi di Cotabato Selatan dan selebihnya mangsa di seluruh wilayah Visayas di tengah Filipina, kata jurucakap agensi, Bernardo Rafaelito Alejandro kepada stesen radio DZMM.

Terdapat juga 33 cedera dan 14 orang hilang, katanya.

Ribut tropika itu yang mempunyai angin berkelajuan maksimum 95 kilometer sejam yang mendarat di timur wilayah Catanduanes, awal Sabtu.

Ia membawa hujan lebat ke atas wilayah ibu kota dan kawasan berdekatan serta melintasi pulau utama Luzon dan menuju ke Laut China Selatan, kata agensi cuaca negara itu.

Semalam, pasukan mencari dan menyelamat mengeluarkan mayat dari air dan lumpur tebal selepas Nalgae mencetuskan banjir dan tanah runtuh.

"Kami kini sedang mengumpulkan semua pasukan penyelamat dan akan menjalankan taklimat sebelum ditempatkan.

"Ia tidak lagi hujan jadi ini akan membantu pencarian dan operasi kami," kata Nasrullah Imam, pegawai agensi bencana di wilayah Maguindanao.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 9:41 AM