Foto hiasan AFP
Foto hiasan AFP
AFP

Tokyo: Taufan Muifa menghampiri kepulauan selatan Jepun pada Ahad, mendorong pegawai mengeluarkan amaran agar penduduk tempatan mencari perlindungan daripada "ombak dan angin kencang" sebelum ia mendarat.

Menurut Agensi Meteorologi Jepun, Muifa dijangka mengekalkan kekuatannya dan melanda pulau Ishigaki, dekat Taiwan, pada Isnin sebelum menuju ke Shanghai dan kawasan sekitarnya.

Sehingga petang Ahad, taufan itu terletak 180 kilometer di selatan Ishigaki, membawa angin kencang sehingga 216 kilometer sejam ketika ia bergerak ke barat laut, kata agensi itu.

"Taufan Muifa yang sangat kuat dijangka menghampiri (rantau sekitar Ishigaki) pada Isnin dengan ombak dan angin ganas dijangka melanda rantau itu hingga Selasa," kata agensi itu.

Walaupun kelajuan taufan boleh menjadi perlahan, "kawasan itu mungkin kekal di bawah kesannya untuk masa yang lama", tambahnya.

Kerajaan Okinawa -- sebuah wilayah yang terdiri daripada lebih 150 pulau di selatan Jepun -- meminta warga tua di Ishigaki dan pulau-pulau kawasan lain mencari perlindungan sebelum taufan itu tiba di wilayah itu.

"Saya ingin meminta semua orang berwaspada terhadap angin kencang dan hujan lebat serta mengutamakan nyawa sendiri," kata gabenor Okinawa Denny Tamaki pada Ahad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 5:00 PM