Penduduk setempat berlari ke tapak berlakunya letupan di Herat, Afghanistan. - FOTO AP
Penduduk setempat berlari ke tapak berlakunya letupan di Herat, Afghanistan. - FOTO AP
Reuters

Kabul: Satu letupan di luar sebuah masjid di bandar Herat di Afghanistan Barat pada Jumaat membunuh sekurang-kurangnya 18 individu termasuk seorang ulama pro-Taliban berprofil tinggi, kata polis.

"Seramai 18 orang terbunuh dan 23 yang lain cedera," kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Abdul Nafi Takor.

Jurucakap polis Herat, Mahmood Rasoli berkata, Mujib Rahman Ansari, bersama beberapa pengawal dan orang awam, telah terbunuh dalam perjalanan menuju ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

Sementara itu, Al Jazeera, memetik sumber yang tidak dinamakan berkata, 28 orang terbunuh dan 45 cedera.

Jurucakap Taliban Zabiullah Mujahid, menyatakan "takziah yang mendalam" atas kematian Ansari dan berkata penyerangnya akan dihukum.

Mujib Rahman Ansari telah bercakap dengan tegas dalam mempertahankan Taliban pada perhimpunan besar ribuan ulama dan orang tua yang dianjurkan oleh kumpulan itu pada akhir Jun, mengutuk sesiapa yang menentang pentadbiran mereka.

Taliban berkata mereka telah meningkatkan keselamatan di negara itu sejak mengambil alih kuasa sekitar setahun lalu, tetapi terdapat beberapa letupan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, sebahagian daripadanya menyasarkan masjid yang sibuk pada waktu solat.

Setakat ini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian letupan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 6:06 PM