Bahagian tebing Sungai Yangtze yang semakin kering. - FOTO AFP
Bahagian tebing Sungai Yangtze yang semakin kering. - FOTO AFP
AP

Chongqin: Kapal-kapal terkandas di tengah-tengah Sungai Yangtze pada Jumaat selepas musim panas paling kering di China dalam tempoh enam dekad menyebabkan salah satu sungai terbesarnya mencatatkan paras membimbangkan - separuh daripada kelebaran normal.

Kilang-kilang di wilayah Sichuan dan metropolis bersebelahan Chongqing di barat daya diarah tutup selepas takungan yang membekalkan kuasa hidro jatuh kepada paras separuh daripada biasa dan permintaan untuk penyaman udara melonjak dalam suhu terik.

Feri sungai di Chongqing yang biasanya penuh dengan pelancong kosong dan terikat pada jeti di sebelah dataran lumpur yang membentang sejauh 50 meter dari garis pantai biasa ke pinggir sungai yang surut.

Kapal-kapal yang lebih kecil belayar di tengah-tengah Yangtze, salah satu saluran perdagangan terbesar di China, tetapi tiada kapal kargo besar dapat dilihat.

Keadaan yang membimbangkan penduduk di Chongqin. - FOTO AFP
Keadaan yang membimbangkan penduduk di Chongqin. - FOTO AFP

Jalan-jalan yang biasanya sibuk, kosong selepas suhu mencecah 45 darjah Celsius di Chongqing pada Khamis. Media kerajaan berkata itu adalah cuaca paling panas di China di luar kawasan gurun Xinjiang di barat laut sejak rekod rasmi bermula pada 1961.

"Kami tidak boleh menempuh musim panas ini tanpa pendingin," kata Chen Haofeng, 22, yang mengambil gambar dasar sungai yang terdedah. "Tiada apa-apa yang boleh menyejukkan kami."

Kesan kemarau di Sichuan adalah luar biasa teruk kerana wilayah itu mendapat 80 peratus kuasanya daripada empangan hidroelektrik.

Beribu-ribu kilang yang membuat cip pemprosesan, panel solar dan komponen automotif di Sichuan dan Chongqing ditutup minggu ini selama sekurang-kurangnya enam hari.

Ada yang mengumumkan tiada gangguan dalam bekalan kepada pelanggan, tetapi kerajaan bandar Shanghai berkata dalam surat yang dikeluarkan Khamis bahawa Tesla Ltd dan pembuat kereta utama China terpaksa menggantung pengeluaran.

Kerajaan Chengdu, ibu kota wilayah Sichuan, memberitahu isi rumah untuk menjimatkan kuasa dengan menetapkan pendingin tidak rendah daripada 27 darjah Celsius.

Satu lagi bandar, Dazhou, sebelum ini mengumumkan gangguan bekalan elektrik selama tiga jam setiap hari untuk kawasan kejiranan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 6:52 PM