Sebahagian penunjuk perasaan yang menuntut mengeluarkan deposit selepas bank membekukan akaun mereka. - FOTO Agensi
Sebahagian penunjuk perasaan yang menuntut mengeluarkan deposit selepas bank membekukan akaun mereka. - FOTO Agensi
Reuters

Beijing: Beberapa orang yang memprotes di bandar Zhengzhou di China berhubung pembekuan deposit oleh beberapa bank luar bandar berkata mereka cedera apabila anggota keselamatan bertindak kasar menyuraikan orang ramai.

Bank-bank membekukan deposit bernilai berjuta-juta dolar pada April, memaklumkan kepada pelanggan bahawa mereka sedang menaik taraf sistem dalaman bank.

Bank-bank itu tidak mengeluarkan sebarang perkembangan mengenai perkara berkenaan sejak itu, kata pendeposit.

Tiada satu pun daripada bank membalas e-mel dan panggilan telefon untuk mendapatkan komen. Media China melaporkan bahawa deposit beku itu boleh bernilai sehingga AS$1.5 bilion (RM6.64 bilion) dan pihak berkuasa sedang menyiasat ketiga-tiga bank itu.

Kira-kira 1,000 orang berkumpul di luar bank pusat China cawangan Zhengzhou pada Ahad untuk menuntut tindakan.

Video dan gambar di media sosial menunjukkan pendeposit mengangkat sepanduk dan membaling botol plastik menghampiri pengawal keselamatan yang kemudian secara kasar mengheret beberapa penunjuk perasaan.

"Saya berasa sangat terkilan sehingga saya tidak dapat menjelaskannya kepada anda," seorang penunjuk perasaan, bernama Zhang, 40, memberitahu Reuters.

Zhang berkata beliau telah berharap untuk mendapatkan semula kira-kira 170,000 yuan (RM1.11 juta) yang didepositkan dengan salah sebuah bank, Bank Komuniti Zhecheng Huanghuai.

Zhang berkata, dia mengalami kecederaan di kaki dan ibu jari, dan dibawa lari oleh empat anggota keselamatan yang tidak dikenali sekitar tengah hari. Jumlah anggota keselamatan melebihi penunjuk perasaan sekitar tiga berbanding satu, katanya.

"Mereka tidak mengatakan mereka akan memukul kami jika kami enggan pergi. Mereka hanya menggunakan pembesar suara untuk mengatakan bahawa kami melanggar undang-undang dengan membuat petisyen. Itu tidak masuk akal. Ia adalah bank yang melanggar undang-undang."

Reuters tidak dapat menghubungi polis untuk mendapatkan komen.

Bank-bank itu, termasuk Yuzhou Xinminsheng Village Bank dan Shangcai Huimin Country Bank, sedang disiasat oleh pihak berkuasa kerana mengumpul dana secara haram, lapor Global Times yang dikendalikan kerajaan.

Lebih 1,000 pendeposit dari seluruh negara telah merancang untuk berkumpul di Zhengzhou bulan lalu untuk cuba mengeluarkan wang mereka tetapi gagal apabila kod kesihatan Covid-19 mereka, yang menentukan sama ada seseorang boleh melakukan perjalanan, bertukar kepada status "tidak boleh membuat perjalanan".

Lima pegawai kemudiannya dihukum kerana menyalahgunakan sistem kod kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 5:58 PM