Stesen Kereta Api Fengtai Beijing. - FOTO Agensi
Stesen Kereta Api Fengtai Beijing. - FOTO Agensi
BERNAMA

Beijing: Stesen Kereta Api Fengtai Beijing, stesen tertua di ibu kota China yang dibina pada 1895 memulakan semula operasinya secara menyeluruh pada Isnin.

Berikutan perkembangan pesat pembinaan bandar dan landasan kereta api di Beijing, semua perkhidmatan pengangkutan dihentikan di stesen ini pada 2010 dan projek penaiktarafan dimulakan pada September 2018.

Setelah melalui projek penaiktarafan selama empat tahun, stesen ini sekali gus menjadi hab pengangkutan kereta api penumpang terbesar di Asia.

Dengan keluasan hampir 400,000 meter persegi, stesen itu menjadi terminal bagi 32 perjalanan penting di negara ini yang mempunyai 32 platform serta mampu memuatkan maksimum 14,000 penumpang sejam.

Stesen baharu dua tingkat itu adalah stesen pertama berskala paling besar di negara ini dengan menyediakan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi dan kereta api biasa.

Selain itu, perkhidmatan kereta api bawah tanah juga disediakan dan secara tidak langsung memudahkan perjalanan penumpang.

Stesen terbabit turut dilengkapi dengan sistem bekalan elektrik dengan kuasa fotovoltaik serta sistem penerangan kegelapan dan pengudaraan semula jadi yang kondusif bagi penjimatan dana pada masa pembinaan dan tenaga setelah stesen beroperasi.

Sistem perkhidmatan pintar di stesen ini meliputi penjualan tiket dan daftar masuk secara automatik serta navigasi pintar yang membolehkan penumpang tiba di pintu daftar masuk dengan pantas, selain membolehkan penumpang menyimpan dan membawa balik bagasi secara layan diri.

Stesen itu turut dilengkapi dengan platform pengoperasian dan penyelenggaraan pintar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 3:45 PM