GAMBAR hiasan - AFP
GAMBAR hiasan - AFP
Agensi

Makkah: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memberi amaran kepada orang ramai terhadap kewujudan penyedia perkhidmatan haji dan akaun dalam talian palsu yang menawarkan pakej haji dengan harga lebih rendah.

Kementerian menggesa rakyat dan ekspatriat yang ingin menunaikan haji tahun ini memohon dan mendaftar hanya melalui aplikasi Eatmarna melalui pautan: https://localhaj.haj.gov.sa /.

Saudi Gazette melaporkan, berdasarkan pemantauan kementerian itu, terdapat banyak kewujudan akaun palsu dan penyedia perkhidmatan haji meminta data peribadi dan dokumen rasmi daripada mereka yang ingin menunaikan haji.

Ia menegaskan bahawa rakyat dan penduduk tidak seharusnya terpedaya dengan iklan yang tidak mempunyai status rasmi di laman rangkaian sosial.

Oleh itu, kementerian menggesa orang ramai melaporkan segera mengenai mana-mana pejabat, syarikat atau orang yang mendakwa menawarkan permit mengerjakan haji bagi tahun 2022 di luar kerangka portal rasmi itu.

Kementerian mengesahkan bahawa hanya portal elektronik untuk jemaah haji domestik, yang ditetapkan kementerian untuk menerima permohonan daripada warganegara dan ekspatriat bagi tahun ini.

Ini bertujuan untuk mencapai ketelusan, memastikan proses penyeliaan dan kawalan serta menggunakan semua langkah kesihatan dan berjaga-jaga yang berkaitan dengan koronavirus.

Pendaftaran haji melalui aplikasi Eatmarna akan diteruskan sehingga 13 Dhul Qada (12 Jun) dan keputusan saringan akan diumumkan selepas tarikh akhir.

Jawatankuasa pemantauan dan susulan di kementerian akan bertindak ke atas semua pelanggaran dan kempen yang tidak dibenarkan.

Langkah undang-undang akan diambil, dengan kerjasama pihak berkuasa keselamatan, terhadap pelanggar, tambah kementerian itu.

Seramai 150,000 warganegara dan ekspatriat akan dipilih daripada kalangan pemohon haji tahun ini.

Ini mewakili 15 peratus daripada jumlah sejuta jemaah haji yang akan dibenarkan menunaikan haji tahun ini. Daripada jumlah keseluruhan jemaah haji, jemaah asing adalah 85 peratus atau 850,000 jemaah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 9:56 AM