GAMBAR hiasan. FOTO EPA
GAMBAR hiasan. FOTO EPA
Agensi

New Delhi: Seorang lelaki menceraikan isterinya kerana didakwa hanya menghidangkan mi segera untuk semua hidangan.

Portal India Times melaporkan, Hakim Mahkamah Sesyen ML Raghunath berkata, kes perkahwinan di mana pasangan memfailkan perceraian atas isu kecil berlaku ketika dia menjadi hakim daerah di Ballari.

"Suami kata isterinya tidak tahu menyediakan makanan selain mi segera.

"Mi segera disediakan untuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Dia mengadu isterinya ke kedai runcit dan hanya membeli mi segera," katanya.

Ragunath berkata, pasangan itu akhirnya bercerai atas persetujuan bersama.

Beliau menambah, menyelesaikan pertikaian perkahwinan adalah sukar dan kebanyakan pasangan bersetuju kembali bersama kerana memikirkan masa depan anak-anak mereka.

"Kami menggunakan sentimen untuk membawa kompromi dalam kalangan pasangan dan menyatukan semula mereka. Ia lebih kepada masalah psikologi, berbanding (masalah) fizikal.

"Dalam kebanyakan kes, walaupun pasangan bersatu semula, kesan pertikaian mereka kekal.

"Daripada 800 hingga 900 kes perkahwinan, kami berjaya selesaikan antara 20 hingga 30 kes," katanya.

Berdasarkan angka di Lok Adalat iaitu forum yang menyelesaikan pertikaian sebelum mana-mana kes dibawa ke mahkamah, daripada 110 kes perceraian, 32 kes sahaja membabitkan pasangan bersetuju untuk kembali bersama.

"Kes perceraian meningkat secara drastik sejak beberapa tahun ini.

"Pasangan perlu tinggal bersama sekurang-kurangnya setahun sebelum bercerai. Jika tiada undang-undang sebegitu, akan ada petisyen cerai yang difailkan terus dari dewan perkahwinan," katanya.

Beliau mendedahkan, mahkamah menerima kes perceraian atas banyak sebab yang pelik.

Antara kes dilaporkan adalah pasangan bercerai kerana seorang daripada mereka meletakkan garam di sebelah pinggan yang salah, di samping ada disebabkan si suami tidak membawa isteri keluar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 7:00 AM