Orang ramai meluangkan masa berhampiran sungai Han di Seoul. - FOTO Reuters
Orang ramai meluangkan masa berhampiran sungai Han di Seoul. - FOTO Reuters
BERNAMA

Seoul: Presiden Moon Jae-in pada Selasa mengucapkan terima kasih kepada orang ramai dan kakitangan perubatan atas usaha mereka memerangi Covid-19 ketika Korea Selatan menghapuskan semua langkah penjarakan sosial, kecuali mandat pemakaian pelitup muka, dan kembali ke kehidupan normal, lapor agensi berita Yonhap.

"Dengan penjarakan sosial ditarik balik sepenuhnya, orang ramai kembali menjalani kehidupan seharian mereka," kata Moon dalam mesyuarat Kabinet.

"Saya sangat berterima kasih kepada orang ramai, dan pekerja perubatan atas kerjasama mereka."

Mulai Isnin, restoran, kafe dan banyak lagi pertubuhan perniagaan boleh beroperasi dengan bebas tanpa perintah berkurung dan orang ramai dibenarkan berkumpul dalam kumpulan besar tanpa had saiz, kerana gelombang Omicron semakin berkurangan.

Mandat pemakaian pelitup muka adalah satu-satunya peraturan yang akan kekal pada masa ini.

Dengan jangkitan harian dan kes kritikal yang semakin berkurangan, pihak berkuasa kesihatan menurunkan tahap penyakit berjangkit Covid-19 kepada kolera dan tuberkulosis.

Moon berkata penurunan taraf itu membolehkan hospital kembali ke sistem perubatan biasa mereka.

Moon, yang penggalnya berakhir pada 9 Mei, juga berkata beliau berharap pentadbiran yang akan datang akan terus menggalakkan pembangunan wilayah yang seimbang.

Pada awal hari ini, kementerian dalam negeri menandatangani perjanjian dengan kerajaan tempatan Busan, Ulsan dan Wilayah Gyeongsang Selatan untuk melancarkan unit pentadbiran baharu seperti Kesatuan Eropah yang bertujuan menggalakkan pembangunan wilayah yang seimbang dan merancakkan ekonomi tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 4:38 PM