Pelbagai manisan dijual sepanjang Ramadan di Beirut. FOTO Reuters
Pelbagai manisan dijual sepanjang Ramadan di Beirut. FOTO Reuters
Agensi

Beirut: Lubnan kini berdepan krisis untuk tahun ketiga menyebabkan sambutan Ramadan kali ini disambut dalam keadaan serba kekurangan.

Arab News melaporkan Beirut dan beberapa bandar tidak lagi disimbahi cahaya dekorasi gah sebaliknya hanya beberapa kain rentang ditampal bagi mengingatkan orang ramai untuk bersedekah pada bulan mulia ini.

Krisis ekonomi yang dihadapi mengakibatkan ramai tergelincir ke garis kemiskinan menjadikan jumlah peminta sedekah juga bertambah.

Malah, golongan pertengahan turut terpalit sama apabila mengalami pengurangan pendapatan akibat nilai mata wang yang merosot berbanding dolar.

Ia juga disebabkan ramai diberhentikan kerja kerana ratusan institusi menghentikan operasi selain kilang dan perniagaan ditutup.

Kawasan perumahan yang mendapat bekalan elektrik lebih dari sejam sehari dianggap sebagai sangat bertuah.

Maher Al-Taweel, yang mengikuti keadaan masjid di bawah seliaan Dar Al-Fatwa, menjangkakan solat Tarawih diadakan dengan ditemani cahaya lilin.

"Tiada bekalan elektrik pada waktu malam apatah lagi pada waktu sahur. Bukan semua masjid mampu membayar lebih dua juta pound Lubnan sebulan untuk generator.

"Terdapat warga yang prihatin menyediakan peranti untuk beberapa masjid bagi memberikan cahaya minimum. Ada juga yang menyediakan panel solar untuk menerangi masjid menggunakan perbelanjaan mereka sendiri.

"Namun, kebanyakan masjid akan menempuhi Ramadan ini dengan cahaya lilin," katanya.

Menurutnya, tiada dekorasi Ramadan di jalanan tahun ini kerana ia dianggap barangan mewah kerana perlu dibayar menggunakan mata wang dolar.

"Mereka yang sebelum ini menghiasi kediaman masing-masing membelanjakan duit pada tahun ini untuk sedekah kepada yang lebih memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2022 @ 7:00 AM