FOTO HIASAN AFP
FOTO HIASAN AFP
BERNAMA

Jakarta: Indonesia menyumbang US$5 juta kepada Gabungan Inovasi Kesiapsiagaan Epidemik (CEPI) bagi membantu rancangan organisasi itu menangani pandemik dan epidemik.

Menteri Kesihatan Indonesia Budi G Sadikin berkata, komitmen kewangan itu selaras dengan usaha negara itu memperkukuh kesihatan global, sejajar dengan komitmen Indonesia selaku presiden Kumpulan 20 (G20).

"Saya percaya bahawa kita perlu bekerjasama, dan Indonesia bersedia memberi komitmen kepada CEPI," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Komitmen kami demi kebaikan sejagat, tidak meninggalkan sesiapa pun, dan mempersiapkan dunia berdepan pandemik seterusnya."

Penderma utama menyumbang sejumlah US$1.5 bilion kepada CEPI pada Sidang Kemuncak Kesiapsiagaan Pandemik Global yang berlangsung selama dua hari di London bermula 7 Mac.

United Kingdom, Jepun, Norway, Amerika Syarikat, Jerman, Australia, Yayasan Bill & Melinda Gates dan Wellcome Trust antara penderma terbesar.

CEPI merupakan kerjasama inovatif antara sektor awam, swasta, dermawan dan sivil, dilancarkan di Davos pada 2017,

Gabungan itu bertujuan memiliki vaksin yang selamat dan berkesan dalam tempoh 100 hari selepas ancaman pandemik atau wabak dikenal pasti serta meningkatkan pengeluaran vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 7:26 PM